Advertise Here

Pena Mawar Hijau

- Another Blogger Blog's

Comments: (0)
Jika kau memandang, jangan ditafsir dengan pandangan sebelah mata
Jika kau merenung, jangan difikir keindahan luaran semata
Jika kau memegang, jangan dipegang dengan kasar dan benci
Jika kau membuka lembarannya, jangan dilihat pada hiasannya
Jika kau membaca, terokailah isi kandungannya
Jangan hanya kau melafazkan tanpa rasa ketakutan hadir dalam dirimu
Ketakutan di sini bukanlah kepada manusia, tetapi kepada penciptamu Yang Maha Agung
Di mana hanya pada-Nya tersimpan kedamaian dan ketanangan milik hatimu
Jika kau menghormatinya, insyaAllah kau kan sentiasa dalam peliharaan-Nya dan keberkatan itu ada dalam setiap perjalanan hidupmu
Itulah keindahan panduan tinggalan Rasulullah s.a.w.
Jika kau mengenalinya, kau akan mengerti betapa agungnya mukjizat itu
Mungkin kau masih belum mengetahui
Kau rugi jika tidak pernah berasa gembira untuk mengenalinya
Kerana tanpanya, kau bisa hanyut dalam hidupmu
Dan tiada sinar keimanan terpancar dalam dirimu
Hanya menambah kekosongan di jiwa
Sebelum masa berengsot pergi meninggalkanmu
Ketahuilah hanya itu yang paling utama
Sumber rujukanmu, AL-QURAN yang paling berharga
Untuk bekalanmu di dunia juga di akhirat kelak
Sesungguhnya, AL-QURAN itu penyuluh kegelapan
Dan menyinari lubuk hati yang kosong
Dengan iman dan taqwa
Ketahuilah...

Al-Quran adalah sahabat ketika kegelisahan, menenangkan dan mententeramkan hati di kala resah, menjadi penghibur peneman sepi, rujukan terbaik menguraikan kekusutan fikiran dan petunjuk yang paling berharga untuk panduan juga kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ia adalah rahmat Allah. Itulah hakikat rahsia al-Quran ke atas seluruh alam=)
Comments: (0)
Sesekali terdetik di hati tentang soal kematian, mengundang rasa yang misteri. Ya, kerapkali pada asalnya aku hanya bertanya di dalam hati, tapi setelah diungkapkan oleh lidah, minda jadi terpaksa bekerja. Setiap kata yang disebut membuat hati jadi gerun, resah tapi tak tahu sebabnya. Dan saat itu, hati sekali lagi bertanya, kenapa aku menimbulkan hal ini dgn tiba2? Ada sesuatukah dalam minda separa sedar yang mencungkil keluar apa yang sebenarnya terbuku di hati? Entahlah, yang pasti aku tak punya jawapan. Tapi ada sesuatu yang aku dapat dr minda dunia ke-2 ini. Benar, org yang mengingati mati akan teguh jiwanya.
Pernah tak kita fikir kenapa setiap orang diciptakan berbeza? Kenapa ada yang cantik, tampan tapi ada juga yang kurang menarik...? Kenapa kita tidak begitu, tidak begini? Kenapa kita tak ada itu, tak ada ini? Hmm pastinya pernah terdetik di hati walau hanya sekali, bukan?
Saya bukanla nak banyak bertanya kat sini, tapi nak sama2 berkongsi sesuatu. Sesuatu yang mungkin kelihatan remeh, mudah dan ringkas tapi mungkin bernilai bagi sebahagian orang. Apa ye???
Ye, pasal soalan2 tadi laa...
Kerap kali saya mendengar luahan, membaca tulisan dan melihat perlakuan segelintir orang yang seakan tidak berpuas hati tentang dirinya dan/atau perkara yang berlaku di sekelilingnya. Seolah-olah mempertikaikan meskipun tidak dinyatakan secara jelas. Mengapa ye?
Erm boleh tak sesekali kita cuba berandai, tp andaian yang menyelesaikan. Ia umpama memujuk diri sendiri mengakui kebenaran akan sesuatu kenyataan.
Maksud saya, cuba berfikir positif, setiap kali pertanyaan2 seperti tadi mengambil tempat dalam minda kita.
Agak2 boleh tak, membantu ke? Tiada salahnya mencuba kan...
Baiklah, perkara pertama, cuba mengandaikan macam ni:

1) Jika kita bukan seorang yang cantik (mungkin sederhana, biasa, tidak cantik)
Cuba fikirkan kalo kita cntik, mungkin kita…
- akan jadi sombong, bangga diri dan merendahkan orang lain yang kelihatan kurang dari kita
-akan menjadi perhatian di mana2 sampai kita pun akan rasa rimas
-terpaksa pakai kosmetik berjenama yang mahal tuk jaga dan kekalkan kecantikan
-kena fikir tentang penampilan diri, cara bercakap dsb yg blh jd buah mulut orang
-akan lupa diri sebab terlalu dipuja dan disanjung
-akan pening kpala nak pilih kawan yg btl2 ikhls kwn dgn kita
-akan curiga dgn bakal psgn kita, sbb xtau atas dasar apa dia suka kita
-abaikan pelajaran sebab dengan kecantikan pun blh cari duit dgn mudah
-jd bhn fitnah orang
-terdedah pada niat buruk orang yg cemburu/dengki dgn kita
-mudah diganggu dan sering diperhatikan
-sukar bersyukur dgn apa yg ada
Comments: (0)
Mata adik seolah terpaku pada susuk seorang gadis yang sedang berjalan menuju hentian bas di depan perpustakaan. Langkahnya tidaklah aneh tetapi ada sesuatu yang membuatkan adik tergamam tanpa kata-kata tika dia hampir melintasi adik...
"Aku jadi hairan melihat apa yang tersarung di tubuhnya... Dia memakai baju tapi aku dapat melihat bentuk tubuhnya dengan jelas, dia memakai tudung tapi aku dapat melihat batang lehernya bersama juraian rantai. Malah aku juga dapat melihat telinga dan rambut di sebalik kesamaran tudungnya yang nipis..." hati kecil adik seakan mengomel sendirian.
"Astaghfirullah...ucap adik panjang saat tersedar arah mata yang tidak terduga. Ya Allah, ampunilah aku kerana memandang begitu. Tiada niat untuk membuatnya serba salah atau salah sangka. Hanya kali ini jiwaku terusik dengan 'pemandangan' biasa yang acap kali kulihat."
Dalam tunduk, fikiran adik ligat mencari semula dalam kotak mindanya apakah masih lagi tersisa kandungan kitab yang pernah dipelajarinya dahulu, yang paling tepat adalah bab panduan berpakaian dalam Islam.
~bersambung...
Comments: (0)
Apa khabar hati hari ni? Cuba cakap sikit...Rasa ok, tenang, geram, nak marah, sedih, gembira...? Hehe jawab jangan tak jawab. Ada masa senggang2 tu cubala ber'bual2' dengan hati sendiri. Tanya khabar, dengar kata2nya dan cuba selami apa yang dimahukan. Bukan banyak pun, ambil masa 5 minit pun cukup, lebih lagi bagus. Untuk apa ye? Yelah, hati kan yang paling sensitif dan peka dengan rutin harian kita. Bila ada sesuatu yang baik berlaku, hati yang paling senang menunjukkan reaksi gembira. Kalo ada sesuatu yang buruk berlaku, hati juga yang paling cepat rasa gelisah, bimbang. Jadi bukankah satu keperluan untuk tahu apa kata hati...;) Supaya senang akal dan tindakan membetulkan keadaan berdasarkan amaran awal yang dicetuskan sang hati (hati kecil/hati besar?) Pulak...
~Akan bersambung~
Comments: (0)
Wahai sahabat bermata jernih, tundukkanlah pandanganmu
Usah biarkan ia meliar, menyaksikan segala bentuk godaan
Yang seharusnya kau palingkan pandanganmu dari melihatnya
Apa yang terakam oleh matamu, akan tergambar di fikiran
Dan selanjutnya tersimpan dalam memori
Yang mungkin menatijahkan tindakan tanpa batasan
Pabila diaruh hasutan nafsu

Sewajarnya kau sedar
Bahawa matamu adalah pemula semua kemungkinan itu
Kerana itulah kita sangat diingatkan untuk menjaganya
Apakah kau masih merasa kesan pandangan itu hanya biasa-biasa
Lalu membiarkan ia terus bebas
Kawallah pandangan itu wahai sahabatku
Kerana ternyata ia telah banyak menghitamkan hati dan merosakkan iman
Comments: (0)
Allah tidak akan membebani kita dengan sesuatu melainkan ianya dalam kemampuan kita. Tapi mengapa seringkali juga kita merasakan seolah2 cubaan yang menimpa sangat berat, terlalu sukar dan menjatuhkan semangat sehingga tidak nampak jalan penyelesaian… Usah dikira rintihan jua tangisan yang tak henti2 mengalir laju, bahkan kadangkala sehingga tidak sedar kita seakan mempertikaikan bila terdetik di hati mengapa sebegitu sekali ujian untuk kita, dan mengapa kita yang diuji begitu rupa... Sesungguhnya, pada ketika inilah sebenarnya menyerlahkan siapa kita dan apa matlamat kita dalam hidup. Apa kaitannya? Di mana2, bila2 masa pun kita sentiasa boleh memilih. Memilih untuk terus bersedih atau bersedia menghadapinya dengan bangkit kembali. Selagi kita membiarkan masalah menjadi masalah, selagi itulah ia akan semakin bertambah malah menjadi semakin rumit. Tetapi jika kita cuba mencari penyelesaian dengan bertanya, berfikir, berusaha, berikhtiar… insyaAllah pasti ada jalan keluar. Jangan membiarkan masa terbuang begitu lama dengan menangisi takdir hidup, tapi sedarkanlah diri, bangunkan jiwa yang lemah, leraikan kekusutan fikiran dengan usaha dan semangat yang gigih. Yakinlah bahawa setiap masalah itu datang bersama penawar. Penawar yang perlu dicari. Siapa tahu nasib kita pada masa depan, jadi mengapa perlu menutup peluang yang lebih cerah untuk mengubah nasib diri?
Seringkali kita memandang pintu yang telah tertutup dengan sangat lama dan menunggu untuk ia terbuka, padahal ada pintu2 lain yang sedang terbuka dan menunggu untuk kita memasukinya. Tapi kerana kita terlalu lama mengharap pada pintu yang tertutup tadi kita melepaskan sekian banyak peluang yang terbuka. Ketika kita sedar, rupanya masa yang dibazirkan untuk menunggu pintu tertutup itu sebenarnya boleh digunakan untuk mencuba peluang2 lain yang datang bahkan mungkin lebih baik. Adakah kita termasuk di kalangan orang yang rugi itu? Moga2 tidak. Berhentilah menangisi pengalaman lalu. Yang berlalu adalah pengalaman yang menambahkan kematangan. Ciptalah masa depan yang lebih bermakna dengan memulakannya dari sekarang. Masa depan adalah impian yang dibina dan dipercayai. Dengan kepercayaan dan keyakinan itulah masa depan dapat dibentuk. Jika kita menginginkan yang lebih baik pada masa akan datang, maka berusahalah sebaik mungkin untuk mencapainya. Kegagalan adalah perkara biasa bagi orang yang sabar dan tak kenal putus asa. Bukankan lebih baik kita merangkak dan sampai ke tempat tujuan berbanding kita berlari tapi terhenti di tengah jalan? Pilihan sentiasa terletak di tangan kita. Hanya tinggal untuk kita tentukan, jalan mana yang harus dipilih…tiada siapa memaksa, tiada siapa yang menanggung risikonya melainkan kita sendiri. Moga diberi petunjuk yang benar dalam setiap pilihan.

Salam Kemerdekaan 31 Ogos=)
"1 Malaysia Menjana Transformasi"
Comments: (0)


Comel betul ikan paus ni. Paus ni dikenali sebagai Paus Beluga atau Paus Putih (Delphinapterus leucas) atau 'kenari laut'. Nmpk mcm ikan lumba2 aje, mcm tersenyum dan mesra alam hehe. Ikan paus beluga ni banyak dijumpai kat kawasan sejuk mcm kutub utara (artik). Tp video ni? Teka kat mana... Hehe ni dalam akuarium besar kat National Museum of Marine Biology and Aquarium, Taiwan =)
Comments: (1)
Ya Allah Ya Tuhanku, aku bersyukur sgt2 mpunyai teman2 yg blh selalu menegur dan mengingatkan aku di saat fikiranku bercelaru dihasut bermacam2 andaian negatif dan pengaruh yang tidak baik. Terasa diri ini kadangkala begitu lemah menepis gangguan seumpama itu. Ampunkanlah segala keterlanjuran lidahku dan juga kelakuanku yang membuatkan orang lain turut terganggu.. Aku masih tidak dapat menguasai nafsu amarah yang seringkali mengapikan hati kecilku ini untuk memberontak. Padahal jika aku cuba bertenang dan berfikir secara sedar seketika, mungkin aku tidak perlu berhadapan dengan konflik perasaan yang menyesakkan ini. Aku akan mendapati betapa menyesalnya diri setelah apa yang berlaku. Tapi bagaimana aku dapat membetulkan segalanya selagi tidak ku buang sifat buruk yang masih berlegar dalam ruang hati. Ya Allah, hari ini aku mendapat pelajaran berguna lagi, mulai saat ini aku berharap dapat mengunci lidahku dari perkataan yang sia2 dan tidak baik tentang apa jua yang aku lihat, dengar dan rasa. Bantulah aku untuk kuat menahan semua ini Ya Allah, sungguh hanya padaMu ku sandarkan segala sesuatu. Aku juga berharap semoga aku dapat selalu mengawal bicara, pemikiran dan perbuatanku agar sentiasa dipandu akal dan iman. Ampunkan dosa2ku Ya Allah, dosa kedua ibubapaku, juga dosa orang yang pernah menyakitiku tanpa sedar. Aku tidak langsung menyimpan dendam di dalam hati. Biarlah yang berlalu itu dapat memberi pengajaran berguna dan bermanfaat untuk semua. Aku juga pernah membuatkan orang terguris, terluka tanpa sengaja, moga mereka juga memaafkan kesalahanku dengan seikhlasnya. Bagaimanapun akhirnya, aku masih seorang manusia, yang mempunyai hati jua perasaan, yang mudah terguris oleh tajamnya kata2 dan salah sangka. Mudah2an hatiku bersih dari segala yang buruk dan bersinar terang oleh cahaya iman dan Islam yang menyuluh jalan hidupku selamanya. Amin…Ya Rabbal A’lamin.

Ya Allah, aku rindu untuk bertemu dengan-Mu
Comments: (1)
Sering kedamaian itu terusik
Bukan kerana kedinginan air mahupun desiran angin
Yang mencuit resah
Namun suatu rasa yang sukar dimengerti
Menyusup halus ke liang-liang
Berteduh di celahan dedaun yang terhampar
Rasa apakah ini
Yang dikilas seumpama butiran debunga yang halus
Lembut sentuhannya tapi menggetarkan
Yang disapa terasa nyaman
Namun tersimpan makna di sebaliknya
Apakah kata yang dapat menggambarkan rasa ini
Hati pugar dikelirukan tanpa jawapan
Benarkah ini realiti untukku
Mengapa terasa seakan jauh untuk aku mempercayainya…?



Iklan jap: Ni br edit dgn Photoscape, nk wat bookmark=)
Camne la tikus2 ni leh jd comel sgt, pdhal bkn ke sm spesies dgn tikus yg slalu selongkar sampah tu
Comments: (0)
Kita akan jadi positif bila bersama dengan orang yang berfikiran negatif, tapi kita juga boleh jadi negatif bila ada dengan orang yang berfikir positif?

Kenapa nasihat yang kita beri pada orang lain biasanya tak sesuai untuk kita walaupun masalahnya sama?

Adakah kita akan banyak memberi setelah kita banyak menerima sesuatu? Atau adakah kita banyak menerima sesuatu kerana kita telah banyak memberi? Nampak mcm sama tp maksud berbeza...hmm nak pk jap

Cetusan minda dan perasaan kadangkala memeningkan, kekadang boleh menyembuhkan. Tidak kurang juga yang menjana pemikiran, walau kerap juga mengusik emosi. Lantas apakah nilai motivasinya ada, untuk sama2 berfikir atau lebih baik mengabaikannya? Betul2 pening..hehe
Bagus untuk bacaan semua, (sumber rencana ini tidak diketahui)

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang,kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata
seorang kakak berterus-terang.

“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa
bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran
yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak
ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah
berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir
dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan
yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah
digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang
berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika
bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau
mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya
kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”

Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi
sebelumnya dapat diredakan.

“Oh ramai encik…”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang
anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion
masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya.
Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah
berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang,
semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik
gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat
dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih
anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat.
Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi
ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih
sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada
kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri
dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you
give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia.
Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan
kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi
Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat
saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan
dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang
berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan
yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta
yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita.
Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah,
lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat
kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan
dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah
berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita
pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya
logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi
laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu
tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong.
Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan
kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas
kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah
merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”
“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan
manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas
kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.
Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu
lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha
Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak
memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang
melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula
kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah
Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia
lagi.”
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.
Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia.
Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang
lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau
gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih
baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.
Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang
mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan
hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back…
Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga.
Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita.
Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek
mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.


“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal
tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi
Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang
sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh
Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan
hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat
kepadanya.”

“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada
Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima
kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala.
Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa
yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang
derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang
tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan
terima kasih?”

“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar
impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi
peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan
hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Nota: Trma ksh Teh Fuziana sbb emelkan artikel ni =)
Comments: (0)


Wah cantiknya awan-awan ni! Kagum betul masa dapat tengok sendiri dari atas sana. Subhanallah, begitu unik dan misteri sekali ciptaan Allah. Menyaksikan gumpalan awan yang seakan bergerak perlahan, memukau pandangan sampai tak sedar dah nak sampai ke tempat tujuan... Selamat jalan awan comel!

“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, dan kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit (iaitu) dari (gumpalan-gumpalan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran ais) itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan penglihatan.” (SURAH AN-NUR: AYAT 43)
Comments: (1)



Wahai saudariku, jagalah dirimu agar saudara-saudaramu turut terpelihara pandangan dan perbuatannya=) Fikir-fikirkanlah kataku ini
Comments: (0)
Al-Ahnaf bin Kias adalah seorang ulama yang terkenal semasa hidupnya. Pada suatu hari seorang pemuda telah datang menziarahinya. Beliau dapati pemuda itu sangat tampan dan kacak lalu bertanya, “Wahai orang muda, adakah engkau menghias wajahmu dengan sesuatu?”
“Benar tuan, saya ada menghias wajah saya dengan sesuatu,” ujar pemuda itu dengan sopan lalu menyambung, “Kalau saya bercakap tidak bohong, kalau ada orang sedang bercakap saya dengar, kalau saya berjanji saya tepati dan kalau diberikan amanah saya tidak khianat.”
Berkatalah Al-Ahnaf, “Benar seperti apa yang kamu katakan wahai orang muda, sesungguhnya kamu telah hiasi dirimu dengan akhlak yang tinggi dan terpuji.”
Comments: (0)


Dah lama tinggal hobi yang satu ni... Bila la nak blh melukis lagi.

Baru-baru ni beli novel Andrea Hirata, patutnya lengkap tetralogi beliau, tp sy beli 3 aje. Maklumlah tak rancang dulu, jd tak bwk duit lebih. Lgpun takut tlebih bajet. Baru baca buku pertama, Laskar Pelangi. Buku ni berkisar tentang pengalaman hidup sekumpulan 11 orang kanak-kanak di daerah Belitong yang miskin tapi punya semangat hidup yang tinggi. Membaca buku ni, segala macam perasaan bercampur baur. Ada kisah lucu, sedih, mengharukan, gembira dan sangat mengesankan. Ayat-ayat yang diguna sangat jujur dan tidak berselindung. Karya2 dr Indonesia seperti ni bagus juga tuk dibaca peminat novel di Malaysia. Bukan tuk perbandingan tapi perkongsian nilai masyarakat yang mungkin sebahagian dari kita tak pernah tau dan sedar. Jadi moga minat membaca novel di kalangan rakyat Malaysia lebih meningkatkan motivasi dalam hidup dan membuatkan kita lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Pastinya dengan memilih bahan bacaan yang betul dan ada nilai tuk diamal dan diteladani. Selamat membaca!
Comments: (0)
Jika kamu memancing ikan....
Setelah ikan itu terlekat di mata kail,hendaklah kamu mengambil ikan itu
Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu saja
Kerana ia akan sakit oleh bisanya ketajaman mata kailmu
dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang
Setelah ia mulai menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja
Kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu
dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu.

Jika kamu menadah air biarlah berpada
jangan terlalu mengharap pada takungannya
dan janganlah menganggap ia begitu teguh
cukuplah sekadar keperluanmu
Apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula
Akhirnya ia dibuang....
Sedangkan jika kamu cuba membaikinya
mungkin ia masih dapat digunakan lagi.

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang,terimalah seadanya
Janganlah kamu terlalu mengaguminya
dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa
Anggaplah dia manusia biasa
Apabila sekali dia melakukan kesilapan
bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya
Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya
Sedangkan jika kamu memaafkannya boleh jadi hubungan kamu
akan terus hingga ke akhirnya.

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu pasti baik untuk dirimu Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah,cuba mencari makanan yang lain
Terlalu ingin mengejar kelazatan.
Kelak,nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan
yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah, cuba membandingkannya dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan menyesal.

Sumber: Ala xingatla amik mana lupa nk save
Comments: (0)
Ujian hidup seringkali menduga
Betapa kau tabah menghadapinya
Hanya rintihan dan keluhan terpendam
Menjadi pengubat kesayuan
Biarpun kau tahu
Diam tidak akan mengubah apa-apa
Memang benar telahanmu
Bahawa kekadang sering disalah tafsir
Baik tutur kata mahupun tingkah laku
Kerana hati itu sukar dimengerti
Ikhlaskah atau dustakah ia
Dalam menabur bakti yang tiada paksaan
Tatkala tersedar akan nilainya
Terfikir pula adakah dihargai
Meskipun tidak, kesabaran itu adalah rutinmu
Ketabahan pula pakaian jiwamu
Sesungguhnya
Budi yang dicurah sukar untuk disanjung
Bukan kerana sedikit tapi kerana tersembunyi
Kalaupun begitu, mengapa kau harus bersedih
Bukankah Allah itu mengetahui segala-galanya
Yang menilai pada luaran, itulah akal
Yang menilai pada kehalusan, itulah perasaan
Yang menilai pada keikhlasan, itulah hati
Namun yang menilai pada yang hak, Dialah Allah
Bukan harta mahupun rupa jadi ukuran
Tapi ketinggian iman dan taqwa itu penentunya
Berbahagialah engkau jika sentiasa redha
Bersyukur akan kurniaan Allah
Walaupun sebutir pasir pemberian-Nya
Hidup ini sementara cuma
Selagi terdaya, curahkanlah baktimu
Biar tidak diendahkan orang
Tapi jika hatimu ikhlas
Rezeki Allah ada di mana-mana
Jika kau yakin akan keadilan-Nya
Teruskanlah usahamu
Membimbing manusia ke arah kesejahteraan
Petunjuk dan keredhaan-Nya pasti menjadi temanmu…

Mendung kelabu datang lagi
Jika dulu hadirnya disambut syukur
Namun kini membawa duka
Hadirnya hanya menambah derita
Hati yang pedih kian terseksa
Petaka apakah ini
Sekelip mata musnah segalanya
Tempat kediaman hancur lebur
Bedilan bom terhempas di sana sini
Putus tangan, tubuh robek
Kesan luka kelihatan melata
Tangisan ketakutan juga jeritan sengsara
Tidak lagi memancing simpati
Jiwa mati meski jasad masih bernyawa
Apalah daya si kecil ini
Terlalu mentah untuk mengerti
Siang malam diburu butiran peluru durjana
Yang tidak peduli siapa mangsanya
Betapa saban waktu dirundung kengerian
Masa depannya gelap gelita
Tiadakah walau secebis kemanusiaan
Bertamu di hati pejuang hipokrit
Konon mahu dibebaskan rakyat jujur itu
Dari belenggu keganasan
Tapi apa yang mereka dapat
Ibarat mati semula tanpa sempat hidup
Inikah yang mereka mahukan
Hitunglah esak tangis dan rintihan mereka
Apakah ini yang ingin kita saksikan
Atau inikah yang ingin kita dengar
Bukan ini kesudahannya
Di mana kita tatkala bumi itu digegar senjata ganas
Meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa
Sedang riangkah menatap kaca tv
Atau sedang rakus menjamah hidangan
Terfikirkah kita betapa dahsyat perjuangan mereka
Yang mungkin ketika itu sedang bermati-matian
Mempertahankan diri dan kaum keluarga
Biarpun nyawa jadi taruhan
Namun menyerah bukan penoktah kekejaman itu
Walau api kemarahan marak membara
Tapi tiada maknanya jika berdiam diri
Penyeksaan itu memerlukan perhatian
Bersatunya negara islam pejuang kemanusiaan
Menentang keangkuhan kuasa penjajah
Penyelesaian yang hakikatnya mudah
Menjadi realiti yang merumitkan
Mengapa harus tunduk pada kuasa besar
Yang semakin gila dan rancak menghambur kebencian
Mencipta penyeksaan dan penderaan yang menjijikkan
Perlukah ditanya apa yang harus dilakukan
Jangan sampai kita membunuh saudara sendiri
Di luar kesedaran dan kedangkalan akal
Bukalah seluas-luasnya mata pembelaanmu wahai dunia
Menjadikan mangsa sebagai penyebab
Ataukah kaku di bawah telunjuk kekejaman
Yang tiada penghujungnya?
Betulkanlah kesilapan itu
Sebelum sesaat pun tidak lagi bererti
Comments: (1)
Allah knows what’s best for us, So why should we complain…
We always want the sunshine, But He knows there must be rain
We always want the laughter, And the merriment of cheer
But our heart will lose their tenderness
If we never shed a tear, Allah tests us often
With suffering and with sorrow
He tests us not to punish us, But to help us meet tomorrow
For growing trees are strengthened
If they can withstand the storm, And the sharpness of the chisel
Gave the marble its grace and form
Allah test us often, And for every pain
He gives us, Provided we are patient
Is followed by rich gain
So whenever we feel that, Everything is going wrong
It is just Allah’s way, To make our spirit strong...

Sumber: JPP KMPP 03/04
Kawan adalah seorang yang namanya kita ketahui, yang kita lihat berkali-kali, dengannya mungkin kita ada persamaan dan kita berasa gembira bersamanya.
Kawan adalah orang yang boleh kita undang ke rumah dan dengannya kita bergurau, namun kita tidak akan memberikan hidup kita kepada mereka kerana kadang-kadang tindakan mereka susah difahami, sebab kita belum mengenali mereka. Betul!
Sebaliknya seorang sahabat adalah seorang yang kita cintai, bukan sebab kita jatuh cinta padanya tetapi sebab kita ambil berat tentang dirinya dan memikirkannya ketika dia tidak bersama kita.
Sahabat adalah orang yang kita ingat bila kita melihat sesuatu yang mereka sukai kerana kita sangat mengenalinya. Kita akan memaafkan kesalahannya sebab kita memahaminya.
Kalau dia menangis, kita tepuk belakangnya dan biarkan dia menangis. Kita tahu tabiatnya. Kesusahan seorang sahabat turut membuatkan kita akan ikut sama merasai susahnya.
Bila dia ketawa, hati kecil kita akan menangis kerana kita mengerti isi hatinya. Hatinya bersama kita. Sebab mereka adalah orang yang gambarnya kita miliki dan kita selalu teringatkannya. Paling penting, sahabat adalah orang yang kita dapat lihat dalam fikiran kita sendiri.
Tidak semestinya kita kawan bertahun-tahun, dia adalah sahabat kita, boleh kita curahkan segala, berkongi segala rahsia dan masalah. Masih ada halangan untuk kita benar-benar rapat dan menganggapnya sebagai sahabat.
Tetapi ada ketikanya kita boleh menjadi rapat dan begitu akrab walaupun kita baru mengenali seseorang. Mengapa? Inilah yang dikatakan keajaiban dalam bersahabat. Kadang-kadang kita sendiri pun tidak tahu mengapa kita boleh menerima seseorang dalam hidup kita, menjadi begitu akrab dalam masa yang agak singkat.
Kita hanya berani meluahkan / bercerita tentang diri kita hanya apabila benar-benar percaya dan yakin dia boleh membantu - sekurang-kurangnya untuk berkongsi masalah dan perasaan kita. Semua ini tidak akan diperolehi kalau tidak daripada seorang sahabat yang ikhlas dan jujur dalam perhubungannya dengan kita.

Sumber: UMPH/APRIL 2006/P 104
Comments: (0)


Setiap ujian itu tercipta dengan hikmah yang tersendiri. Tiadalah ALLAH menjadikan sesuatu dengan sia-sia tanpa berguna sedikitpun kepada manusia. Hanya kadangkala pahitnya sering melemahkan insan kerana rupanya tak seindah anugerah yang manusia harapkan.
Memang bukan mudah untuk menghadapi segala ketentuan dengan penuh ikhlas dan tabah tetapi jika setiap manusia itu yakin dan kuat semangatnya menerima ujian Tuhan,
pastinya Allah sentiasa ada untuk menghulurkan pertolongan-Nya.
Dalam hadis Qudsi Allah telah berfirman kepada malaikat-Nya:
"Pergilah kepada hamba-Ku lalu timpakanlah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar suaranya."
Hadis ini menggambarkan betapa Allah mengharapkan manusia memohon kepada-Nya ketika diberikan ujian. Namun manusia jarang mengingati dan sukar untuk menghadirkan Allah dalam setiap apa yang dilakukan. Ketika dilimpahi kesenangan hanya sedikit daripada kita yang bersyukur dan mengingati Allah sebagai Pemberi Yang Maha Kaya. Tapi bila dihimpit kesusahan begitu cepat kembali kepada Allah. Adakah kesedaran itu kekal sehingga dihilangkan Allah segala kesusahan? Kerana itulah kita perlu sentiasa mencari dan memperbaiki kesilapan seumpama ini yang kekadang tidak disedari kita melakukannya. Allah itu Maha Menerima taubat.
Tetapi ingatlah bila kita semakin jauh dengan Allah, Dia sentiasa cuba mendekati kita.
Sebab itulah diturunkan ujian. Bila kita semakin dekat dengan Allah, maka bersedialah menghadapi lebih banyak ujian yang mendatang. Kerana manusia diuji berdasarkan tingkat ketaatan kepada agamanya. Jika ia sangat kuat terhadap agamanya,maka sangat kuat pula ujian kepadanya dan jika lemah dalam agamanya diuji pula sesuai dengan ketaatannya itu. Demikianlah bala dan ujian itu sentiasa ditimpakan kepada seorang hamba sehingga ia dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa dosa apa pun.Inilah yang dijelaskan dalam hadis Qudsi.
Sentiasalah kita bermuhasabah dan memperingati sesama Islam. Setiap manusia ada kekurangannya dan sudah tentu pernah berbuat silap.
Bersihkanlah diri dan sucikanlah hati dengan berlandaskan panduan yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran dan juga As-Sunnah.
Ingatlah Allah sentiasa, mudah-mudahan dipermudahkan dan dipimpin-Nya menuju kebahagiaan di dunia dan jua akhirat.......

"DAN DIA (TUHAN) TETAP BERSAMA-SAMAMU WALAU DI MANA JUA KAMU BERADA."
Surah Al-Hadid:Ayat 4
Pernah tak fikir kenapa kita tak boleh nak rasa gembira setiap hari? Kadang2 dalam seminggu tu mungkin ada je hal yang buat kita rasa tension sangat, rasa nak marah, sampai nak senyum pun susah. Macam mana tu.. Pada saya, sebab tulah kalo boleh kita kena ada minat terhadap banyak benda. Kiranya pelbagaikan minat. Minat pada buku, sukan, menulis, melukis, bercerita, bermain semua la. Sebabnya? Supaya kita tak fikir sangat pasal hal2 yang boleh buat kita rasa tak senang tadi. Cuba bayangkan kalo kita ada satu minat je. Kalo tiba2 ada masalah berkaitan tu, habis nak buat apa lagi? Tak ke tension jadinya. Sekurang2nya bila minat banyak benda, kita boleh alih perhatian jap untuk buat perkara lain. Jadi kurangla sikit rasa sakit kepala kan. Bila dah ok, kan boleh fikir dengan tenang, jadi masalah tadi tu boleh la diselesaikan dengan cara baik. Tak perlu lepas geram pada orang, atau menyakitkan diri sendiri. Pilihan sentiasa terletak pada kita, tinggal nak buat atau tak je.

Selamat mempelbagaikan minat =)
Ya Allah Ya Tuhanku,
Seringkali aku merintih sendiri
Kerana terlalu lemah meniti suratan-Mu
Mengapa terasa sukar untukku hadapi
Meskipun telah kucuba bertahan
Kerapkali titisan jernih menuruni kelopak mata ini
Membawa bersama luluhnya harapan
Dan setiap kali itu aku cuba berdiri
Menetapkan semangat di balik kekuatan yang masih tersisa
Dalam keheningan malam
Kutatapi lembaran kalimah-Mu dengan penuh rasa syukur
Dalam kerendahan hati
Aku tunduk di hamparan sejadah
Menangisi kelalaianku mengutip hikmah
Dan kala itu dapat kurasa lembutnya sentuhan hidayah-Mu
Menyusup meresapi ruang sanubariku
Menyembuhkan luka-luka semalam
Walau janjiku sering termungkir
Namun kasih-Mu tak pernah pudar
Dan sesekali takkan pernah aku terlupa
Aku adalah hamba-Mu yang sangat bertuah
Kerana Engkau menerimaku dalam ungkapan yang paling agung…


Ya Allah Ya Tuhanku,
Cintaku kepada-Mu
Tidak ingin aku lapisi
Dengan kecintaan lain yang melalaikan
Biarpun cinta seumpama itu
Sentiasa berkembang mekar, menarik perhatian
Dibayangi kemanisan dan segala yang mengharumkan
Menjerat dan memukau
Hingga mungkin membuatkan iman bisa menggigil
Sungguh Ya Allah,
Aku lebih suka jika semua itu tidak kumiliki
Walaupun harga yang perlu kubayar
Bisa menguji keteguhan dan kesabaran
Juga mungkin menolakku jatuh berkali-kali
Andai itu nilainya
Kupohon pada-Mu agar memberikan kekuatan
Untuk aku redha menghadapinya
Yang akhirnya ingin aku rasai dan yakini
Ketenangan dan ketenteraman paling indah
Selamanya adalah milik hatiku…
Comments: (0)

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam…. Menghirup udara segar di pagi subuh yang bening, selaut rasa syukur memenuhi jiwa. Sungguh, setiap sedutan nafas itu terlalu bernilai…kenapa? Sebab tiada satu apapun di dunia ini yang mampu menggantikannya. Jika kita sesekali merenung dan memikirkan kejadian alam, tentunya kita dapat menzahirkan kekaguman di mana-mana sudut pun. Usahlah mengembara jauh, cukuplah memulakannya dengan menghayati keajaiban yang ada pada diri kita. Cuba kita nilai satu persatu, adakah sesuatu yang sebanding dengan nikmat pancaindera kita? Mata, hidung, mulut, telinga, tangan mahupun kaki semuanya tercipta dengan pengkhususan tugas masing-masing yang sangat teratur dan bermanfaat. Siapakah tuan empunya yang menjadikan anugerah2ini sedemikian rupa jika bukan Dia, Allah Yang Maha Berkuasa. Apakah kita dapat menemukan sesuatu yang nilainya sama dengan keajaiban tadi? Sahabatku, jika engkau sering memikirkan semua ini, tidak akan ada ruang keraguan menyisip di hatimu, apalagi untuk mengkufuri nikmat yang telah diberikan kepadamu. Begitu juga dengan ujian, ia bukanlah semata-mata musibah yang menjadi mimpi ngeri dalam hidup insan, bahkan adalah penyelamat. Ditimpakan kepada kita ujian-ujian tidak lain adalah untuk menyampaikan rasa kasih-Nya kepada kita. Sedarkah kita bahawa kita kerap terlupa, lalai dan juga tersasar apabila diulit kesenangan dan kemewahan dunia? Lalu apakah tidak boleh Allah cuba mengalih perhatian kita agar kembali mengingati-Nya, dengan harapan kita sedar bahawa hidup di dunia hanya sementara. Keperluan di akhirat perlu diseimbangi, dunia tempat mengumpul bekalan agar kita dapat menikmati kebahagiaan berpanjangan dan abadi. Pernahkan engkau menghitung setiap nikmat dan juga dugaan hidup yang Allah beri? Pasti tidak akan habis membilangnya, namun ketahuilah, perbandingan ujian itu adalah jauh lebih sedikit daripada nikmat kurniaan-Nya. Allah sekali-kali tidak akan membebanimu dengan sesuatu yang tidak mampu engkau tanggung, melainkan semua dalam keupayaanmu. Maka bersabarlah dengan kesusahan yang dihadapi dan mohonlah kekuatan dari-Nya untuk teguh menghadapi sehingga diberikan jalan keluar dan dihilangkan kesulitan itu. Sesungguhnya sabar itu ibarat ‘akar seruntun’ yang pahit, namun hasilnya menyenangkan kerana di sebalik rasa pahit itulah tersimpan penawar yang menyembuhkan penyakit, dengan izin Allah…
Dikuasakan oleh Blogger.