Advertise Here

Pena Mawar Hijau

- Another Blogger Blog's

Minda tak henti-henti berfikir, andaian silih berganti, lidah tak jemu menutur kata, mencipta untaian cerita...seakan tiada noktahnya. Bilakah ia akan berakhir? Aku sudah lelah, penat dengan kisah sama yang hampir basi tapi masih berulang berlaku. Setiap kali fikiran kembali menjadi jernih, setiap kali itu juga pasti ada perenggan cerita yang menyentap ketenangan. Sudah ku cuba menguraikan yang kusut, meleraikan yang tersimpul...namun jiwa ini masih dibelenggu perkara sama. Aku sudah puas berkias, meluahkan apa yang terbuku di hati, tapi masih saja cerita itu menyelit di ruang sempit sanubari. Lalu apa yang harus aku lakukan? Berdiam saja, berpura-pura seolah kisah itu tak pernah wujud atau cuba melupakan. Agak sukar untukku menghilangkannya dari kotak memori, memandangkan ia adalah sejarah. Ya, aku boleh menimbusnya dengan kenangan lain yang lebih menceriakan hariku tapi mungkin saja ia boleh tiba-tiba muncul. Oh Tuhan, berilah aku kekuatan untuk memaafkan dan memadamkannya dari ingatan. Aku sedia memaafkan andai itu mampu membuatkan jiwaku lebih bahagia. Sudahlah, aku ingin berhenti. Berhenti memikirkan dan berbicara tentang cerita-cerita itu. Aku tidak mahu lagi menambah kekusutan dan kerisauan tentang hal yang tak perlu aku pentingkan. Syukurlah, aku telah sedar. Aku hanya mampu mendoakan agar akan berlaku perubahan di sebalik usia yang semakin senja itu. Moga Allah mengampuniku dan memberi petunjuk kepadanya untuk berubah. Agar tiada sesiapa lagi yang merasa pedihnya... Jiwaku lebih tenang kini kerana telah dapat menjernih keruh di hati:)
Comments: (0)
Bukan mudah memikul tanggungjawab, apatah lagi jika berterusan dan melibatkan ramai orang. Walaupun secara zahirnya tanggungjawab diberi oleh manusia tapi hakikatnya ia adalah amanah daripada Allah. Tidak sepatutnya kita menganggap amanah itu suatu kebanggaan yang melayakkan kita melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya. Kenapa? Kerana setiap apa yang diamanahkan kepada kita pastinya memerlukan tindakan yang bersesuaian dan menuntut kita memenuhi keperluan itu. Bukanlah masalah apabila tanggungjawab tidak terlaksana sepenuhnya selagi kita mencuba yang terbaik. Masalahnya adalah apabila kita tidak berusaha sebaik mungkin untuk memikul amanah yang telah diberi. Sudahnya yang menjadi mangsa adalah orang yang berada di bawah pimpinan kita atau yang terlibat dengan kita. Sesekali bermuhasabahlah...tulis satu persatu tugas yang perlu dilakukan, rancang tindakan dan laksanakanlah sebaiknya. Usah terlalu risau tentang pandangan orang terhadap apa yang kita buat. Sebaliknya nilailah setiap tindakan yang kita ambil dan kesannya terhadap orang lain. Tidak mengapa jika kita melakukan kesalahan, yang penting ambil iktibar dan jangan ulangi. Jadikan kritikan dan teguran sebagai pembina semangat untuk membuktikan kita mampu melaksanakan sesuatu tugas dengan baik. Jangan meletakkan kesalahan ke atas orang lain atau menafikan kebaikan seseorang. Jujurlah mengakui kesilapan dan cuba perbaikinya. Menafikan tidak akan meninggikan martabat sepertimana mengakui kesilapan itu tidak akan menjatuhkan martabat diri. Hitunglah setiap tanggungjawab yang telah terlaksana dan pikul dengan ikhlas dan jujur. Tidak perlu mengharap pujian atau sanjungan manusia, tetapi fikirlah adakah telah menyempurnakan amanah tersebut dengan baik. Mengharap keredhaan Allah itu lebih penting dari memikirkan balasan orang. Ayuh saudara-saudaraku, kenangkan amanah yang tergalas di bahumu agar engkau tidak menganiayai orang lain.
Comments: (0)
Comments: (0)
Memaafkan semua orang akan membersihkan hati dan jiwa akan menjadi tenang...
Dulu, ketika diri masih tak dapat mengawal kemarahan, aku merasakan sangat sukar saat berdepan atau terpaksa menghadapi punca marah itu. Senang cakap, orang yang mencetuskan kemarahanku. Aku tak mampu menahan marah, tapi untuk menghambur kemarahan juga tak termampu. Maknanya, jiwaku terseksa menahan kata-kata dan pada masa yang sama hatiku sakit kerana rasa marah menguasai diri. Akhirnya, aku menjadi tak tenang dan seolah berdendam. Dan setiap kali punca kemarahan itu melakukan hal yang sama atau sekadar menampakkan diri di hadapanku, hatiku kembali sakit kerana mengenang pengalaman lalu. Meski aku sedaya upaya cuba menghilangkan ingatan lalu namun ia seolah menghantui, mengejarku di mana-mana...
Mujurlah aku masih waras. Ilmu agama yang masih tersemat di dada memagari tingkahku. Ku cuba memujuk hati dan memadamkan bara di dalamnya. Kadangkala aku hairan, aku jadi pelik dengan sikap manusia yang pelbagai. Tapi itulah kenyataan yang perlu ku hadapi. Sejak itu aku menjadi insan yang penuh misteri, yang aku sendiri tak mengenali dengan mendalam.
Itu dulu...
Tapi kini, aku lebih tenang. Kerana aku telah sedar kenapa kita perlu memaafkan semua orang. Sebenarnya ungkapan ini sudah banyak kali kedengaran, diucapkan oleh ahli agama, pakar psikologi atau pakar motivasi. Hairan ya, aku dah lama tahu dan aku juga memaafkan tapi masih tak bahagia pada saat tertentu. Saat aku sekali lagi berjumpa dengan manusia yang tak mengerti perasaan orang lain, saat aku diperlakukan seperti kanak-kanak nakal dan saat aku sering berduka dengan ujian Allah.
Aku sering menasihati hal yang sama bila orang meminta pandanganku. Aku tahu senang untuk bercakap tapi sukar untuk dilaksanakan, bagi yang tidak dapat mengikhlaskan hati. Rupanya aku juga sekadar memaafkan di mulut, sedangkan hatiku tidak melakukannya. Sebab itu aku juga tak terlepas dari rasa serabut yang menyesakkan hati.
Sesungguhnya, kata-kata yang terluah perlu diakui dengan hati yang ikhlas. Jika mulut memaafkan, seharusnya hati juga memaafkan dengan ikhlas. Ikhlas kerana mengharapkan Allah juga mengampuni kita, ikhlas kerana Allah. Kita cuma tak suka pada perbuatan bukan pada orang yang melakukan kesalahan itu. Jika benar dia bersalah, kita berdoa mudah-mudahan Allah membuka pintu hati dan memberi petunjuk kepadanya. Moga Allah mengampuni dia atas kesalahannya. Itulah namanya ikhlas kerana Allah. Dan selanjutnya, jangan lagi menyimpan apa-apa di dalam hati dan belajarlah melupakan. Jika sesekali terkenang, anggaplah itu sebagai iktibar dan cepat-cepat padamkan. Kita kata sudah memaafkan jadi apa perlunya lagi mengingat-ingat.
Cubalah praktikkan perlahan-lahan. Usah memaksa diri memaafkan secara terpaksa tapi didiklah hati memaafkan dengan tenang tanpa dipengaruhi perasaan-perasaan yang bukan-bukan. Wahai saudaraku, aku juga tahu bagaimana susah untuk benar-benar melaksanakan tapi aku juga tahu bagaimana rasanya setelah diri benar-benar dapat memaafkan. Kau kata inginkan hati yang tenang, ingin Allah mempermudahkan bagimu dalam setiap urusan. Jadi apa yang kau risaukan lagi, mulakanlah langkah pertama. InsyaAllah moga diberi Allah kekuatan untuk melaksanakan. Aku yakin kita semua boleh melakukannya, dengan penuh ikhlas. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci dan diisi dengan hal-hal yang menyedihkan. Pilihlah hati yang tenang dah hidup yang dipenuhi bahagia untuk sepanjang usia yang masih ada. Kita hanya singgah di dunia sementara untuk menyediakan hidup bahagia di akhirat yang kekal abadi... Senyumlah...kerana berjaya melawan nafsu marah dari terus bersarang di hatimu=)
Comments: (0)
Membicarakan soal jodoh, begitu banyak perspektif yang timbul. Wajarkah kita mengharap mendapatkan pasangan yang soleh/solehah sedangkan kita tidak berusaha untuk menjadi soleh/solehah terlebih dahulu? Adakah kita perlu mencari yang soleh/solehah itu dengan harapan dia mampu membimbing kita berubah menjadi lebih baik? Jika bagi wanita mungkin itulah yang sebaiknya tetapi bagaimana pula jika lelaki? Fitrah lelaki adalah sebagai pemimpin kepada wanita, maka sewajarnya lelaki melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama dan rumah tangga agar dapat membentuk keluarga yang diredhai Allah. Dan insyaAllah kekal harmoni dunia hingga akhirat. Tambahan pula, lelaki biasanya ego untuk menerima arahan, teguran atau bimbingan daripada wanita. Sukar pula untuk seorang wanita menegur suaminya kerana mungkin saja disalah anggap sebagai mencabar atau terlebih pandai. Atau mungkin menjadikan suami hilang kuasa dan haknya sebagai ketua keluarga.
Kerapkali soal cinta menjadi hujah utama dalam soal pemilihan jodoh dewasa ini. Sebelum berkahwin, mungkin itu adalah sebab paling munasabah bagi seseorang untuk memilih pasangan hidupnya. Tetapi setelah berkahwin, hidup sebumbung dan berkongsi segalanya...apakah soal cinta itu masih di tangga teratas dalam mengekalkan bahtera rumahtangga yang sering diacah badai? Sebenarnya bukanlah soal cinta sangat, tapi lebih pada tanggungjawab. Kebanyakan pasangan yang bercerai memberi alasan sudah tiada cinta, persefahaman atau keserasian lagi. Jadi apalah guna dipertahankan rumah yang hampir roboh...Ada juga yang beralasan merasa tertipu, tidak bahagia dan sebagainya. Melainkan perceraian itu adalah satu-satunya jalan yang tinggal dan terbaik, selebihnya cuma alasan bagi orang yang berfikiran pendek.
Bukanlah bercakap ikut sedap mulut tetapi itulah realitinya. Kenapa kalau sebelum kahwin itu, masing-masing berusaha mencari keserasian, persefahaman sehingga menambahkan cinta namun selepas berkahwin mengapa tidak terus cuba mencari keserasian? Sebaliknya sengaja mencari kebencian atau keburukan pasangan. Segala yang dahulunya indah di mata menjadi buruk, yang dahulunya diterima kini dipertikai. Kadangkala hanya ternampak kekurangan pada pasangan walhal diri sendiri juga memiliki kekurangan.
Dalam Islam, panduan dan syariat yang digariskan sudah cukup indah dan mudah. Hanya tinggal kita hayati dan amalkan. Bermula dengan pemilihan calon suami/isteri, hal2 berkaitan pernikahan, tanggungjawab suami terhadap isteri dan sebaliknya, tanggungjawab terhadap anak2 sehinggalah berkaitan hak2 selepas perceraian lengkap dibahaskan. Bagaimana bentuk keluarga kita pada masa akan datang ditentukan sejak dari awal pemilihan jodoh. Bagaimana diri kita dan pasangan itulah yang mencorakkan suasana mahligai impian yang akan terbina. Tentunya kita tidak mahu malah tidak sanggup memikirkan untuk berpisah. Sebolehnya, pasangan yang kita pilih itu adalah jodoh kita sampai ke syurga InsyaAllah.
Rasanya ciri penting yang perlu diutamakan dalam memilih calon suami ialah dengan menilai pada agama dan akhlaknya. Selebihnya akan terbentuk dengan baik jika memiliki keduanya. Pemilihan calon isteri juga begitu tetapi ada banyak faktor lain lagi yang boleh dipertimbangkan sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah S.A.W.
Rasa cinta penting untuk mengekalkan kebahagiaan kerana ia sememangnya fitrah semula jadi manusia yang ingin dikasihi dan disayangi. Namun cinta fitrah ini harus didasarkan oleh cinta kepada Allah. Cinta boleh berkembang mekar, pudar dan hilang maka sebab itulah perlu berlandaskan syariat. Cinta itu penting tapi jangan terlalu dipentingkan. Perjalanan selepas berkahwin menuntut tanggungjawab melebihi rasa cinta dalam hati. Kerana di saat cinta memudar, pastinya sukar untuk mempertahankan ikatan jika perkahwinan dibina semata-mata atas dasar cinta. Pada saat itulah tanggungjawab mengawal keadaan. Fikirkan bagaimana untuk menyuburkan kembali rasa cinta di samping menunaikan tanggungjawab yang tergalas di bahu, bukan makin menghakis rasa cinta dengan mengungkit rasa yang mendingin.

"Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti."-Pahrol Mohamad Juoi.
Comments: (1)
Rumahku syurgaku, kampungku sumber kedamaianku=)
Wah, seqhonok sungguh kalau buleh balik kampung, qhasa macam lama sangat dah dok kat bangi ni. Tapi tak habih explore jgk hehe. Kami lebih suka dok kat qhumah ja kalau takdak keperluan nak pi mana2. Kalau dok kampung, ada kucing dan ayam yang kena bagi makan. Paling kuqhang pun 2x sehari bagi depa makan. Nak tergelak bila nak bagi makan kat kucing2 tu. Bercepeqha laqhi naik tuqhun qhumah flat 3 tingkat depa tu sebab dengaq bunyi orang bukak pintu pagaq. Dah tau tu tandanya orang bawak makanan tuk depa. Kalut betoi dok bising pulak tu. Tu belom bukak pagaq qhumah depa lagi, dah tunggang terbalik pinggan mangkuk yang ada. Habih depa pijak, tendang ke bawah. Lapaq sangatla tu. Bukak je pintu qhumah, pakat dok seqhebu kluaq. Masa tula sangat mencabaq, kena pegang pinggan makanan kuat2 kalau dak habih tumpah depa taqhik. Huh berpeluh dahi masa tu. Kuss semangat...Macam dalam peqhang dah gamaknya. Yang ayam sekoq ni lain pulak ceqhita. Kami kuqhung dia sekoq dia ja sebab dia tu tak sedaq diqhi dia ayam, dok peqhasan dia tu kucing. Bayangkan, dia cuma makan nasi yang dah dimasak, beqhas konfemla takmau, keqhas kot bagi dia. Pastu pulak buleh dia pi makan satu pinggan dengan kucing, tak pi makan dengan ayam2 lain. Aneh sungguh makhluk ni. Dulu masa mula bela kecik ja dia, la ni dah besaq, kalah ayam bapak yang dok bising pagi2 tu. Tapi nak sembelih memang tak kot, sayang. Ni kalau oqhang nampak mesti dia dah kena culik. Sebab tu takleh biaq dia dok pi jalan2 kat kedai. Satgi dok sengap2 orghang cekup ambik buat gulai. Bahaya tu. Satu lagi yang pelik, ayam ni kita buleh pegang dia selamba je, dia tak kisah pun. Sebab apa? Sebab dia ingat dia kucing, oqhang dok pegang, belai. Ish3 memang ada masalah kekeliruan personaliti ayam ni. Apapun kami tetap sayang dia sebab dia baik, tak kacau oqhang hehe. Waa rindu pulak kat depa. Bila ceqhita kat sini qhasa macam release sikit hehe... Nantila sambung lain kali. Nak buat qheja lain pulak.
Comments: (0)
Tengahari tadi ada tengok 1 rancangan kat tv9. Pasal kemalangan yang melibatkan haiwan dan usaha menyelamat. Memang ada peristiwa yang menakutkan, yang melibatkan nyawa haiwan2 ni. Bila tengok haiwan2 yang bergelut melepaskan diri dari bencana, terfikir juga apala agaknya perasaan depa masa hadapi detik2 mencemaskan tu. Kalau manusia yang alami, kita boleh tau sengsaranya melalui teriakan, jeritan, tangisan atau keadaan fizikal yang dapat menceritakan semuanya dengan jelas. Tapi kalau pada haiwan? Ya, mungkin kita boleh dengar raungan tu, tapi kita tak tau apa sebenarnya yang cuba disampaikan. Mungkin kita hanya boleh menjangka yang depa ni takut, sakit atau sesak nafas. Alangkah sedihnya kalau depa tak dapat diselamatkan. Walaupun depa ni haiwan tapi tetap ada kehidupan sendiri. Ada anak2, keluarga, kawan2 yang menanti kepulangan. Kalau terjadi pada manusia, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh tolong sampaikan khabar berita kepada keluarga. Kalau haiwan2 ni mati masa operasi menyelamat, kita hanya boleh tolong kebumikan. Tapi siapa yang boleh maklumkan kepada keluarga si mati ni? Sebab tula usaha menyelamat haiwan macam ni bagus diteruskan dan dapat beri kesedaran kepada masyarakat untuk sama2 melakukan apa yang boleh untuk menyelamatkan depa ni. Hakikatnya haiwan juga makhluk bernyawa yang ada perasaan, janganlah kita menganiaya haiwan atau membiarkan depa dalam kesusahan. Tanggungjawab menyelamat terletak pada bahu kita semua. Haiwan juga perlu dibantu sama seperti kita membantu manusia lain. Sampaikanlah kepada kawan2 tentang kebenaran ni. Mana tau, masa kita susah nanti mungkin ada antara haiwan2 yang pernah kita tolong tu akan membalasnya pula. Mendidih hati bila tengok ada 1 video ni yang tunjukkan sorang wanita pijak dan bunuh sekor anak kucing comel. Di mana rasa perikemanusiaan tu? Apapun alasannya, perbuatan tu memang tak patut dan tak boleh dimaafkan. Kalau kita tak boleh nak tolong, janganlah kita menyiksanya pula. Bertaubatlah wahai manusia kejam!
Dikuasakan oleh Blogger.