Advertise Here

Pena Mawar Hijau

- Another Blogger Blog's

Minda tak henti-henti berfikir, andaian silih berganti, lidah tak jemu menutur kata, mencipta untaian cerita...seakan tiada noktahnya. Bilakah ia akan berakhir? Aku sudah lelah, penat dengan kisah sama yang hampir basi tapi masih berulang berlaku. Setiap kali fikiran kembali menjadi jernih, setiap kali itu juga pasti ada perenggan cerita yang menyentap ketenangan. Sudah ku cuba menguraikan yang kusut, meleraikan yang tersimpul...namun jiwa ini masih dibelenggu perkara sama. Aku sudah puas berkias, meluahkan apa yang terbuku di hati, tapi masih saja cerita itu menyelit di ruang sempit sanubari. Lalu apa yang harus aku lakukan? Berdiam saja, berpura-pura seolah kisah itu tak pernah wujud atau cuba melupakan. Agak sukar untukku menghilangkannya dari kotak memori, memandangkan ia adalah sejarah. Ya, aku boleh menimbusnya dengan kenangan lain yang lebih menceriakan hariku tapi mungkin saja ia boleh tiba-tiba muncul. Oh Tuhan, berilah aku kekuatan untuk memaafkan dan memadamkannya dari ingatan. Aku sedia memaafkan andai itu mampu membuatkan jiwaku lebih bahagia. Sudahlah, aku ingin berhenti. Berhenti memikirkan dan berbicara tentang cerita-cerita itu. Aku tidak mahu lagi menambah kekusutan dan kerisauan tentang hal yang tak perlu aku pentingkan. Syukurlah, aku telah sedar. Aku hanya mampu mendoakan agar akan berlaku perubahan di sebalik usia yang semakin senja itu. Moga Allah mengampuniku dan memberi petunjuk kepadanya untuk berubah. Agar tiada sesiapa lagi yang merasa pedihnya... Jiwaku lebih tenang kini kerana telah dapat menjernih keruh di hati:)
Comments: (0)
Bukan mudah memikul tanggungjawab, apatah lagi jika berterusan dan melibatkan ramai orang. Walaupun secara zahirnya tanggungjawab diberi oleh manusia tapi hakikatnya ia adalah amanah daripada Allah. Tidak sepatutnya kita menganggap amanah itu suatu kebanggaan yang melayakkan kita melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya. Kenapa? Kerana setiap apa yang diamanahkan kepada kita pastinya memerlukan tindakan yang bersesuaian dan menuntut kita memenuhi keperluan itu. Bukanlah masalah apabila tanggungjawab tidak terlaksana sepenuhnya selagi kita mencuba yang terbaik. Masalahnya adalah apabila kita tidak berusaha sebaik mungkin untuk memikul amanah yang telah diberi. Sudahnya yang menjadi mangsa adalah orang yang berada di bawah pimpinan kita atau yang terlibat dengan kita. Sesekali bermuhasabahlah...tulis satu persatu tugas yang perlu dilakukan, rancang tindakan dan laksanakanlah sebaiknya. Usah terlalu risau tentang pandangan orang terhadap apa yang kita buat. Sebaliknya nilailah setiap tindakan yang kita ambil dan kesannya terhadap orang lain. Tidak mengapa jika kita melakukan kesalahan, yang penting ambil iktibar dan jangan ulangi. Jadikan kritikan dan teguran sebagai pembina semangat untuk membuktikan kita mampu melaksanakan sesuatu tugas dengan baik. Jangan meletakkan kesalahan ke atas orang lain atau menafikan kebaikan seseorang. Jujurlah mengakui kesilapan dan cuba perbaikinya. Menafikan tidak akan meninggikan martabat sepertimana mengakui kesilapan itu tidak akan menjatuhkan martabat diri. Hitunglah setiap tanggungjawab yang telah terlaksana dan pikul dengan ikhlas dan jujur. Tidak perlu mengharap pujian atau sanjungan manusia, tetapi fikirlah adakah telah menyempurnakan amanah tersebut dengan baik. Mengharap keredhaan Allah itu lebih penting dari memikirkan balasan orang. Ayuh saudara-saudaraku, kenangkan amanah yang tergalas di bahumu agar engkau tidak menganiayai orang lain.
Comments: (0)
Dikuasakan oleh Blogger.