Advertise Here

Pena Mawar Hijau

- Another Blogger Blog's

Comments: (0)
Memaafkan semua orang akan membersihkan hati dan jiwa akan menjadi tenang...
Dulu, ketika diri masih tak dapat mengawal kemarahan, aku merasakan sangat sukar saat berdepan atau terpaksa menghadapi punca marah itu. Senang cakap, orang yang mencetuskan kemarahanku. Aku tak mampu menahan marah, tapi untuk menghambur kemarahan juga tak termampu. Maknanya, jiwaku terseksa menahan kata-kata dan pada masa yang sama hatiku sakit kerana rasa marah menguasai diri. Akhirnya, aku menjadi tak tenang dan seolah berdendam. Dan setiap kali punca kemarahan itu melakukan hal yang sama atau sekadar menampakkan diri di hadapanku, hatiku kembali sakit kerana mengenang pengalaman lalu. Meski aku sedaya upaya cuba menghilangkan ingatan lalu namun ia seolah menghantui, mengejarku di mana-mana...
Mujurlah aku masih waras. Ilmu agama yang masih tersemat di dada memagari tingkahku. Ku cuba memujuk hati dan memadamkan bara di dalamnya. Kadangkala aku hairan, aku jadi pelik dengan sikap manusia yang pelbagai. Tapi itulah kenyataan yang perlu ku hadapi. Sejak itu aku menjadi insan yang penuh misteri, yang aku sendiri tak mengenali dengan mendalam.
Itu dulu...
Tapi kini, aku lebih tenang. Kerana aku telah sedar kenapa kita perlu memaafkan semua orang. Sebenarnya ungkapan ini sudah banyak kali kedengaran, diucapkan oleh ahli agama, pakar psikologi atau pakar motivasi. Hairan ya, aku dah lama tahu dan aku juga memaafkan tapi masih tak bahagia pada saat tertentu. Saat aku sekali lagi berjumpa dengan manusia yang tak mengerti perasaan orang lain, saat aku diperlakukan seperti kanak-kanak nakal dan saat aku sering berduka dengan ujian Allah.
Aku sering menasihati hal yang sama bila orang meminta pandanganku. Aku tahu senang untuk bercakap tapi sukar untuk dilaksanakan, bagi yang tidak dapat mengikhlaskan hati. Rupanya aku juga sekadar memaafkan di mulut, sedangkan hatiku tidak melakukannya. Sebab itu aku juga tak terlepas dari rasa serabut yang menyesakkan hati.
Sesungguhnya, kata-kata yang terluah perlu diakui dengan hati yang ikhlas. Jika mulut memaafkan, seharusnya hati juga memaafkan dengan ikhlas. Ikhlas kerana mengharapkan Allah juga mengampuni kita, ikhlas kerana Allah. Kita cuma tak suka pada perbuatan bukan pada orang yang melakukan kesalahan itu. Jika benar dia bersalah, kita berdoa mudah-mudahan Allah membuka pintu hati dan memberi petunjuk kepadanya. Moga Allah mengampuni dia atas kesalahannya. Itulah namanya ikhlas kerana Allah. Dan selanjutnya, jangan lagi menyimpan apa-apa di dalam hati dan belajarlah melupakan. Jika sesekali terkenang, anggaplah itu sebagai iktibar dan cepat-cepat padamkan. Kita kata sudah memaafkan jadi apa perlunya lagi mengingat-ingat.
Cubalah praktikkan perlahan-lahan. Usah memaksa diri memaafkan secara terpaksa tapi didiklah hati memaafkan dengan tenang tanpa dipengaruhi perasaan-perasaan yang bukan-bukan. Wahai saudaraku, aku juga tahu bagaimana susah untuk benar-benar melaksanakan tapi aku juga tahu bagaimana rasanya setelah diri benar-benar dapat memaafkan. Kau kata inginkan hati yang tenang, ingin Allah mempermudahkan bagimu dalam setiap urusan. Jadi apa yang kau risaukan lagi, mulakanlah langkah pertama. InsyaAllah moga diberi Allah kekuatan untuk melaksanakan. Aku yakin kita semua boleh melakukannya, dengan penuh ikhlas. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci dan diisi dengan hal-hal yang menyedihkan. Pilihlah hati yang tenang dah hidup yang dipenuhi bahagia untuk sepanjang usia yang masih ada. Kita hanya singgah di dunia sementara untuk menyediakan hidup bahagia di akhirat yang kekal abadi... Senyumlah...kerana berjaya melawan nafsu marah dari terus bersarang di hatimu=)
Comments: (0)
Membicarakan soal jodoh, begitu banyak perspektif yang timbul. Wajarkah kita mengharap mendapatkan pasangan yang soleh/solehah sedangkan kita tidak berusaha untuk menjadi soleh/solehah terlebih dahulu? Adakah kita perlu mencari yang soleh/solehah itu dengan harapan dia mampu membimbing kita berubah menjadi lebih baik? Jika bagi wanita mungkin itulah yang sebaiknya tetapi bagaimana pula jika lelaki? Fitrah lelaki adalah sebagai pemimpin kepada wanita, maka sewajarnya lelaki melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama dan rumah tangga agar dapat membentuk keluarga yang diredhai Allah. Dan insyaAllah kekal harmoni dunia hingga akhirat. Tambahan pula, lelaki biasanya ego untuk menerima arahan, teguran atau bimbingan daripada wanita. Sukar pula untuk seorang wanita menegur suaminya kerana mungkin saja disalah anggap sebagai mencabar atau terlebih pandai. Atau mungkin menjadikan suami hilang kuasa dan haknya sebagai ketua keluarga.
Kerapkali soal cinta menjadi hujah utama dalam soal pemilihan jodoh dewasa ini. Sebelum berkahwin, mungkin itu adalah sebab paling munasabah bagi seseorang untuk memilih pasangan hidupnya. Tetapi setelah berkahwin, hidup sebumbung dan berkongsi segalanya...apakah soal cinta itu masih di tangga teratas dalam mengekalkan bahtera rumahtangga yang sering diacah badai? Sebenarnya bukanlah soal cinta sangat, tapi lebih pada tanggungjawab. Kebanyakan pasangan yang bercerai memberi alasan sudah tiada cinta, persefahaman atau keserasian lagi. Jadi apalah guna dipertahankan rumah yang hampir roboh...Ada juga yang beralasan merasa tertipu, tidak bahagia dan sebagainya. Melainkan perceraian itu adalah satu-satunya jalan yang tinggal dan terbaik, selebihnya cuma alasan bagi orang yang berfikiran pendek.
Bukanlah bercakap ikut sedap mulut tetapi itulah realitinya. Kenapa kalau sebelum kahwin itu, masing-masing berusaha mencari keserasian, persefahaman sehingga menambahkan cinta namun selepas berkahwin mengapa tidak terus cuba mencari keserasian? Sebaliknya sengaja mencari kebencian atau keburukan pasangan. Segala yang dahulunya indah di mata menjadi buruk, yang dahulunya diterima kini dipertikai. Kadangkala hanya ternampak kekurangan pada pasangan walhal diri sendiri juga memiliki kekurangan.
Dalam Islam, panduan dan syariat yang digariskan sudah cukup indah dan mudah. Hanya tinggal kita hayati dan amalkan. Bermula dengan pemilihan calon suami/isteri, hal2 berkaitan pernikahan, tanggungjawab suami terhadap isteri dan sebaliknya, tanggungjawab terhadap anak2 sehinggalah berkaitan hak2 selepas perceraian lengkap dibahaskan. Bagaimana bentuk keluarga kita pada masa akan datang ditentukan sejak dari awal pemilihan jodoh. Bagaimana diri kita dan pasangan itulah yang mencorakkan suasana mahligai impian yang akan terbina. Tentunya kita tidak mahu malah tidak sanggup memikirkan untuk berpisah. Sebolehnya, pasangan yang kita pilih itu adalah jodoh kita sampai ke syurga InsyaAllah.
Rasanya ciri penting yang perlu diutamakan dalam memilih calon suami ialah dengan menilai pada agama dan akhlaknya. Selebihnya akan terbentuk dengan baik jika memiliki keduanya. Pemilihan calon isteri juga begitu tetapi ada banyak faktor lain lagi yang boleh dipertimbangkan sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah S.A.W.
Rasa cinta penting untuk mengekalkan kebahagiaan kerana ia sememangnya fitrah semula jadi manusia yang ingin dikasihi dan disayangi. Namun cinta fitrah ini harus didasarkan oleh cinta kepada Allah. Cinta boleh berkembang mekar, pudar dan hilang maka sebab itulah perlu berlandaskan syariat. Cinta itu penting tapi jangan terlalu dipentingkan. Perjalanan selepas berkahwin menuntut tanggungjawab melebihi rasa cinta dalam hati. Kerana di saat cinta memudar, pastinya sukar untuk mempertahankan ikatan jika perkahwinan dibina semata-mata atas dasar cinta. Pada saat itulah tanggungjawab mengawal keadaan. Fikirkan bagaimana untuk menyuburkan kembali rasa cinta di samping menunaikan tanggungjawab yang tergalas di bahu, bukan makin menghakis rasa cinta dengan mengungkit rasa yang mendingin.

"Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti."-Pahrol Mohamad Juoi.
Comments: (1)
Rumahku syurgaku, kampungku sumber kedamaianku=)
Wah, seqhonok sungguh kalau buleh balik kampung, qhasa macam lama sangat dah dok kat bangi ni. Tapi tak habih explore jgk hehe. Kami lebih suka dok kat qhumah ja kalau takdak keperluan nak pi mana2. Kalau dok kampung, ada kucing dan ayam yang kena bagi makan. Paling kuqhang pun 2x sehari bagi depa makan. Nak tergelak bila nak bagi makan kat kucing2 tu. Bercepeqha laqhi naik tuqhun qhumah flat 3 tingkat depa tu sebab dengaq bunyi orang bukak pintu pagaq. Dah tau tu tandanya orang bawak makanan tuk depa. Kalut betoi dok bising pulak tu. Tu belom bukak pagaq qhumah depa lagi, dah tunggang terbalik pinggan mangkuk yang ada. Habih depa pijak, tendang ke bawah. Lapaq sangatla tu. Bukak je pintu qhumah, pakat dok seqhebu kluaq. Masa tula sangat mencabaq, kena pegang pinggan makanan kuat2 kalau dak habih tumpah depa taqhik. Huh berpeluh dahi masa tu. Kuss semangat...Macam dalam peqhang dah gamaknya. Yang ayam sekoq ni lain pulak ceqhita. Kami kuqhung dia sekoq dia ja sebab dia tu tak sedaq diqhi dia ayam, dok peqhasan dia tu kucing. Bayangkan, dia cuma makan nasi yang dah dimasak, beqhas konfemla takmau, keqhas kot bagi dia. Pastu pulak buleh dia pi makan satu pinggan dengan kucing, tak pi makan dengan ayam2 lain. Aneh sungguh makhluk ni. Dulu masa mula bela kecik ja dia, la ni dah besaq, kalah ayam bapak yang dok bising pagi2 tu. Tapi nak sembelih memang tak kot, sayang. Ni kalau oqhang nampak mesti dia dah kena culik. Sebab tu takleh biaq dia dok pi jalan2 kat kedai. Satgi dok sengap2 orghang cekup ambik buat gulai. Bahaya tu. Satu lagi yang pelik, ayam ni kita buleh pegang dia selamba je, dia tak kisah pun. Sebab apa? Sebab dia ingat dia kucing, oqhang dok pegang, belai. Ish3 memang ada masalah kekeliruan personaliti ayam ni. Apapun kami tetap sayang dia sebab dia baik, tak kacau oqhang hehe. Waa rindu pulak kat depa. Bila ceqhita kat sini qhasa macam release sikit hehe... Nantila sambung lain kali. Nak buat qheja lain pulak.
Comments: (0)
Tengahari tadi ada tengok 1 rancangan kat tv9. Pasal kemalangan yang melibatkan haiwan dan usaha menyelamat. Memang ada peristiwa yang menakutkan, yang melibatkan nyawa haiwan2 ni. Bila tengok haiwan2 yang bergelut melepaskan diri dari bencana, terfikir juga apala agaknya perasaan depa masa hadapi detik2 mencemaskan tu. Kalau manusia yang alami, kita boleh tau sengsaranya melalui teriakan, jeritan, tangisan atau keadaan fizikal yang dapat menceritakan semuanya dengan jelas. Tapi kalau pada haiwan? Ya, mungkin kita boleh dengar raungan tu, tapi kita tak tau apa sebenarnya yang cuba disampaikan. Mungkin kita hanya boleh menjangka yang depa ni takut, sakit atau sesak nafas. Alangkah sedihnya kalau depa tak dapat diselamatkan. Walaupun depa ni haiwan tapi tetap ada kehidupan sendiri. Ada anak2, keluarga, kawan2 yang menanti kepulangan. Kalau terjadi pada manusia, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh tolong sampaikan khabar berita kepada keluarga. Kalau haiwan2 ni mati masa operasi menyelamat, kita hanya boleh tolong kebumikan. Tapi siapa yang boleh maklumkan kepada keluarga si mati ni? Sebab tula usaha menyelamat haiwan macam ni bagus diteruskan dan dapat beri kesedaran kepada masyarakat untuk sama2 melakukan apa yang boleh untuk menyelamatkan depa ni. Hakikatnya haiwan juga makhluk bernyawa yang ada perasaan, janganlah kita menganiaya haiwan atau membiarkan depa dalam kesusahan. Tanggungjawab menyelamat terletak pada bahu kita semua. Haiwan juga perlu dibantu sama seperti kita membantu manusia lain. Sampaikanlah kepada kawan2 tentang kebenaran ni. Mana tau, masa kita susah nanti mungkin ada antara haiwan2 yang pernah kita tolong tu akan membalasnya pula. Mendidih hati bila tengok ada 1 video ni yang tunjukkan sorang wanita pijak dan bunuh sekor anak kucing comel. Di mana rasa perikemanusiaan tu? Apapun alasannya, perbuatan tu memang tak patut dan tak boleh dimaafkan. Kalau kita tak boleh nak tolong, janganlah kita menyiksanya pula. Bertaubatlah wahai manusia kejam!
Comments: (0)
Sedar tak sedar dah masuk bulan 3 dalam tahun 2011 ni. Terasa sangat cepat masa berlalu. Hmm...pada masa yang sama masih banyak benda lum setel. Sepanjang masa tu juga, banyak benda dah jadi. Pengalaman hidup memang tak pernah bagi isyarat tuk datang, tanpa masa persediaan dan garis panduan macam mana nak hadapi. Sebab tu namanya pengalaman. Maknanya kita kena hadapi dan lepas alami semua tu sendiri baru kita dapat sesuatu. Sesuatu yang membuat kematangan bertambah, jati diri lebih kukuh, semangat lebih kental dan yang penting menguji kesabaran dan kebijaksanaan. Mungkin juga pengalaman tu memberi ilmu baru atau membuka peluang untuk kita jadi lebih baik. Siapa tahu kan? Apapun yang datang, hadapilah dengan hati terbuka. Kalau ia sesuatu yang mencabar, sahut dengan penuh yakin dan sabar. Kalau ia sesuatu yang menyedihkan, didik hati agar redha dan berusahalah keluar dari belenggu itu, mohon diberi kekuatan oleh Allah. Kalau ia sesuatu yang menggembirakan, syukurilah nikmat kurniaan Allah dan gunakanlah dengan sebaik-baiknya. Apa jua yang datang, apa jua yang menguji, hadapilah dengan tenang. Jangan cepat melatah hingga hilang kawalan diri. Hanya kita yang mampu mengubah diri sendiri, orang lain hanya boleh menasihati atau membantu sekadarnya. Setiap keputusan yang dibuat haruslah dipertimbangkan dan bersedialah menghadapi risiko yang mungkin timbul kemudian hari. Dalam menempuh kehidupan, jangan lupa sebelum dan semasa berusaha, berdoalah kepada Allah dan bertawakkal sesudahnya. Moga apabila disapa kesulitan, kita ada bekalan semangat dan insyaAllah diberi petunjuk yang benar oleh Allah. Yakinilah bahawa Allah sentiasa ada bersama kita. Sekalipun tiada siapa yang ingin membantu, usah kecewa. Akan tiba suatu masa untuk semuanya kembali baik. Jadi, bersediakah kita meneruskan langkah?...
Comments: (0)
Bagaikan mimpi yang sering bertandang menyeri tidur yang lena
Mencipta kenangan indah seakan diatur satu persatu, jilid demi jilid
Walau aku kadangkala dibuai angan-angan kosong
Namun aku tetap berpijak di bumi nyata
Sekadar mengisi ruang masa yang berlegar
Kusangka angan hanya suatu khayalan, dan tidak mungkin dapat diterjemah menjadi realiti
Kerana hatiku tidak tekad menginginkannya begitu
Tetapi kini aku mengakui kebenaran
Segala apa yang dirasa hati, yang terfikir di minda
Bahawa cinta ini mengunjungiku, adalah benar milikku
Yang perlu aku pelihara dan yakini
Biarpun aku masih ragu kerana bimbang ia adalah mimpi
Yang akan hilang dalam hembusan angin pagi
Tatkala kelopak mata terbuka…
Ya, semuanya begitu pantas namun ia benar
Tersentak kecil hatiku saat mengimbas kembali
Laluan perjalanan rasa ini yang kian memenuhi kamar hati
Sungguh dia bijak menyisipkan rasa kasih
Pada setiap ruang yang terlihat atau tersembunyi
Kerana keyakinan dan usahanya nyata lebih tinggi berbanding usaha dan keyakinanku untuk menolaknya…
Comments: (0)
Wahai diri,
Kesatlah air mata yang mengalir di pipimu
Benamkan amarahmu jauh ke pasak bumi
Hapuskan prasangka dari bercambah
Lupuskan dendam yang bertunas di jiwa
Rawatlah kesedihanmu dengan zikrullah

Wahai diri,
Apakah kamu mengira
Bahawa Allah sengaja membuatmu terluka
Dengan lidah tajam dan tusukan duri manusia yang tidak mengerti?
Salah tanggapanmu itu
Istighfarlah, jinakkan jiwamu dengan rasa kehambaan

Wahai diri,
Mengapa engkau sering bersedih
Padahal nikmat padamu tak pernah berkurang
Hanya sesekali Allah menambah rencah
Agar lebih bermakna hidupmu
Dengan sedikit ujian, likunya bertambah warna

Wahai diri,
Berbahagialah dengan apa yang kau hadapi
Hakikatnya engkau tidak pernah ditinggal keseorangan
Biar dalam senang mahupun susah
Usah terlalu menghukum diri dengan melayan derita
Sedang wajahmu mampu untuk melakar senyum

Wahai diri,
Bangkitlah dari rasa lesu
Hiruplah haruman segar
Dari bunga hatimu yang redha dengan ketentuan Ilahi
Yakinilah bahawa engkau terlalu istimewa
Tanpamu, dunia tidak sempurna...

Senyumlah wahai diri, moga ia membuatkan wajahmu bercahaya, dan alam berseri dengan sinarmu=)
Comments: (0)
Mungkinkah jiwa itu tidak pernah diuji dengan hebat?
Ataupun meletakkan segalanya atas kesalahan orang lain?
Mengapa jiwa itu tidak terbit rasa kasihan, bersalah atau sedikit merendahkan egonya?
Mengapa mesti memperlakukan orang yang sangat menjaga hatinya dengan mencarik2 dan merobek perasaan
Tidakkah rasa bersalah mengetuk pintu hatinya ataukah pintu itu tertutup rapat untuk rasa2 yang tidak ingin diundang
Sungguh angkuh jiwa itu, yang bisa melukakan hati setiap orang dengan perilaku yang sangat dibanggakan
Alangkah petah lidah berbicara tentang betapa pincangnya pemikiran orang padahal tidak menyedari setiap perkataan yang diluahkan adalah pantulan peribadi sendiri
Yang gersang dari dinginnya air mata keinsafan, juga kering dari pohon kerendahan hati
Yang melihat diri lebih betul berbanding orang lain
Yang kononnya lantang mempertahankan hak, tapi dalam masa sama menafikan hak orang lain yang perlu dilindungi
Bicara apakah itu, sehingga membuatkan telinga ini berdesir, muak mendengar segala apa yang dihamburkan
Tindakan tidak seperti kata2 yang terlontar
Kata2 tidak mengiringi amalan yang wajar
Mengapa begitu sudahnya jiwa itu
Mungkinkah cahaya kelembutan dan sinar keimanan semakin kelam menembusi ruang hati
Betapa pun aku mengatakan, tidaklah dapat aku mengubahnya melainkan berdoa moga jiwa itu sedar dan terjaga dari kekalutan yang diciptanya sendiri
Moga jiwa itu tidak hanyut atau terus tenggelam dalam wadah kesombongan dan kelusuhan iman…
Kejamkah aku untuk meluahkan semua ini? Aku tidak terdaya menahan perasaan ini kerana hanya aku yang merasa betapa perit untuk diluah apalagi untuk disimpan. Moga Allah mengampuniku dan memberi nikmat ketenangan dalam hati ini yang sering carik dan robek oleh jiwa kayu itu
“Apabila Allah telah menentukan bagi hamba-Nya suatu kedudukan yang tinggi, yang tidak mungkin tercapai sebab kurangnya amalan hamba itu, maka Allah akan memberi ujian pada jasadnya atau pada anaknya atau pada hartanya, dan Allah telah memberikan ketabahan, sehingga dengan ketabahan itu, ia dapat mencapai kedudukan yang tinggi yang telah ditentukan ke atas dirinya”. (Hadis riwayat Anas bin Malik)

Ya Allah Ya tuhanku, kini aku benar-benar mengerti mengapa setiap ujian itu diturunkan kepada manusia, lebih tepat lagi kepada aku...
Tiada kata yang dapat menjelaskan apa yang dirasa hati tatkala diuduga ujian-Mu Ya Allah. Sungguh benar kita takkan benar-benar memahami perasaan orang yang mengalami sesuatu musibah sehinggalah kita sendiri mengalaminya. Kalaupun penyebab dan kejadiannya sama, tapi tetap berbeza kesannya kerana setiap orang melaluinya dengan tahap penerimaan dan cara penyelesaian yang berbeza juga. Cuma ketika kita diminta memberi nasihat atau bantuan, lancar lidah menyampaikan, bijak tindakan yang diterjemahkan. Tapi kenapa saat kita mengalami hal itu sendiri, nasihat dan penyelesaian yang telah kita sampaikan, yang kita sememangnya tahu isinya, seakan tidak berguna untuk kita? Dan masalah itu tak dapat diselesaikan atas nasihat yang sama? Ya, jawapannya kerana tahap penerimaan kita sebenarnya berbeza. Adakah kita menjangka kita lebih tabah dari orang yang menghadapi sesuatu musibah? Sebab itu kita bercakap dengan mudah kerana menyangka kita lebih tahu, lebih merasa sengsaranya. Tapi cuba kita sendiri dalam situasi itu, baru kita tahu tinggi rendah langit yang memayungi.
Kerana itu, jangan ambil mudah setiap kali ada rakan atau sahabat kita mengadu tentang masalahnya. Tapi berbicaralah dengan kerendahan hati, cuba fahami dan dengar dengan sabar. Saat-saat seperti itu memerlukan kebijaksanaan buah fikiran dan tindakan yang berhikmah. Jika tidak mampu, cukuplah engkau setia menadah telinga, menyerap semua luahan hatinya. Dan pada akhirnya, peganglah bahunya, katakan dengan lembut yang engkau yakin dia mampu hadapi semua dengan baik dan engkau sentiasa ada untuk memberi kekuatan kepadanya. Kadangkala mereka bukan inginkan penyelesaian sangat, tapi kesediaan dan keprihatinan kita untuk mendengar itu sudah memadai. Luahan hati ibarat terapi yang menenangkan jiwa. Ada yang mudah meluahkan isi hati dengan air mata atau kata-kata, ada juga menggambarkan dalam bentuk lukisan, lakaran, nyanyian, ada yang memilih puisi untuk mengungkapkan perasaan dan ada yang menyibukkan diri untuk meluputkan ketegangan. Walau apa cara sekalipun, yang pasti meluahkan adalah cara terbaik menghindarkan tekanan.
Comments: (2)
Dalam satu, ada banyak rasa, banyak kenangan, banyak pengalaman. Daripada satu, akan jadi dua bila sampai masanya. Untuk satu, perlu pengorbanan, perlu keyakinan dan kesabaran. Satu, tiada dua, tiada tiga. Dialah raja, dialah hamba. Satu itu para bijaksana tapi satu itu juga dungu. Letih memihak pada satu sedangkan satu tak pernah mengerti. Penat membela satu sebab satu itu selalu berbuat helah. tapi satu tetap tak boleh diabaikan sebab satu itu tiada pengganti...
Comments: (0)
Ya Allah Ya Tuhanku, aku merindukan saat bersama-Mu. Di mana dalam hidupku hanya ada Engkau untuk selalu di sampingku, menemaniku dalam tawa dan tangis, waktu aku letih menempuh arus hidup yang berliku dan tika aku ingin bercerita, berkongsi kisah hidupku yang penuh warna. Ibu ayah dan keluarga sentiasa di hatiku tetapi aku tidak ingin menyukarkan mereka untuk terbeban dengan segala kesusahan yang aku lalui. Kerana itu, aku yakin untuk meletakkan mereka yang aku sayangi di dalam perlindungan dan rahmat-Mu Ya Allah. Sedang aku di sini juga sangat memerlukan sentuhan lembut hidayah-Mu. Sungguh Engkau mampu memberikan seluruh alam ini perhatian dan kasih-Mu pada setiap saat tanpa sebarang kekurangan. Ya Allah, aku aman dalam perhatian-Mu. Aku sedar, Engkau mengujiku kerana kasih-Mu pada hamba-Mu yang lemah ini. Agar dia tidak terus lemah dan selalu ingat untuk bangkit setiap kali terjatuh. Agar dia tidak meminta kepada selain daripada-Mu. Agar dia sentiasa bersyukur bila mengenang kembali nikmat yang masih ada padanya, yang dimilikinya. Sungguh itu semua hanya pinjaman, yang harus dengan kesediaan hati hamba-Mu ini perlu redha melepaskan apa yang bukan miliknya di saat Engkau mengambilnya kembali. Dan meyakini bahawa Engkau akan menggantikannya dengan sesuatu yang terlebih baik pula untuknya, benar kan begitu Ya Allah? Biarpun pada pandangan hamba-Mu itu mungkin sesuatu yang tidak disukainya, tetapi Engkau memberinya apa yang sebenarnya dia perlukan. Akan tiba suatu masa hamba-Mu itu akan mengakuinya dengan jiwanya yang luhur. Aku mampu tersenyum Ya Allah, kerana terkenang janji-Mu yang sering membuat jiwaku tenang dan terhibur. Ya Allah aku ingin lagi berbicara dengan-Mu, malah sentiasa menjadi harapanku setiap masa dan ketika. Aku juga ingin dikasihi-Mu dan Rasul-Mu, moga aku dapat memasuki syurga-Mu bersama mereka yang telah Engkau janjikan. Limpahkanlah redha dan rahmat-Mu untuk kami Ya Allah. Masih belum cukup bekalan untuk ku persiapkan ke sana. Tapi aku akan berusaha untuk itu, berilah petunjuk-Mu kepadaku, kepada kami, moga kami dapat melangkah ke sana dengan penuh kesyukuran... Amiiin Ya Rabbal 'Alamiiin=)
Comments: (0)
Allah adalah sebaik-baik penolong kepada umat manusia. Jika engkau berduka Dialah yang sering menghiburkan hatimu ketika engkau memohon bantuan-Nya dengan penuh pengharapan. Jika engkau bergembira, Dialah yang sentiasa mengekalkan kebahagiaan yang dikecapi sehinggakan engkau langsung melupakan kedukaan. Dialah ALLAH, yang tidak pernah menghampakan hamba-hamba yang ikhlas memohon perlindungan dan pertolongan daripada-Nya. Dengan syarat mereka tidak henti-henti menuturkan zikir memuji keagungan-Nya. Namun jika engkau menyedari, engkaulah yang kerap melupakan-Nya. Engkau akan kembali mengingati-Nya apabila kesusahan menjengah ruang hidupmu. Tidakkah engkau berasa insaf apabila kadangkala engkau merasakan segala doamu tidak dikabulkan, padahal engkau tahu sebabnya?
Dikuasakan oleh Blogger.