Advertise Here

Pena Mawar Hijau

- Another Blogger Blog's



Setiap ujian itu tercipta dengan hikmah yang tersendiri. Tiadalah ALLAH menjadikan sesuatu dengan sia-sia tanpa berguna sedikitpun kepada manusia. Hanya kadangkala pahitnya sering melemahkan insan kerana rupanya tak seindah anugerah yang manusia harapkan.
Memang bukan mudah untuk menghadapi segala ketentuan dengan penuh ikhlas dan tabah tetapi jika setiap manusia itu yakin dan kuat semangatnya menerima ujian Tuhan,
pastinya Allah sentiasa ada untuk menghulurkan pertolongan-Nya.
Dalam hadis Qudsi Allah telah berfirman kepada malaikat-Nya:
"Pergilah kepada hamba-Ku lalu timpakanlah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar suaranya."
Hadis ini menggambarkan betapa Allah mengharapkan manusia memohon kepada-Nya ketika diberikan ujian. Namun manusia jarang mengingati dan sukar untuk menghadirkan Allah dalam setiap apa yang dilakukan. Ketika dilimpahi kesenangan hanya sedikit daripada kita yang bersyukur dan mengingati Allah sebagai Pemberi Yang Maha Kaya. Tapi bila dihimpit kesusahan begitu cepat kembali kepada Allah. Adakah kesedaran itu kekal sehingga dihilangkan Allah segala kesusahan? Kerana itulah kita perlu sentiasa mencari dan memperbaiki kesilapan seumpama ini yang kekadang tidak disedari kita melakukannya. Allah itu Maha Menerima taubat.
Tetapi ingatlah bila kita semakin jauh dengan Allah, Dia sentiasa cuba mendekati kita.
Sebab itulah diturunkan ujian. Bila kita semakin dekat dengan Allah, maka bersedialah menghadapi lebih banyak ujian yang mendatang. Kerana manusia diuji berdasarkan tingkat ketaatan kepada agamanya. Jika ia sangat kuat terhadap agamanya,maka sangat kuat pula ujian kepadanya dan jika lemah dalam agamanya diuji pula sesuai dengan ketaatannya itu. Demikianlah bala dan ujian itu sentiasa ditimpakan kepada seorang hamba sehingga ia dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa dosa apa pun.Inilah yang dijelaskan dalam hadis Qudsi.
Sentiasalah kita bermuhasabah dan memperingati sesama Islam. Setiap manusia ada kekurangannya dan sudah tentu pernah berbuat silap.
Bersihkanlah diri dan sucikanlah hati dengan berlandaskan panduan yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran dan juga As-Sunnah.
Ingatlah Allah sentiasa, mudah-mudahan dipermudahkan dan dipimpin-Nya menuju kebahagiaan di dunia dan jua akhirat.......

"DAN DIA (TUHAN) TETAP BERSAMA-SAMAMU WALAU DI MANA JUA KAMU BERADA."
Surah Al-Hadid:Ayat 4

0 ulasan:

Catat Komen

Dikuasakan oleh Blogger.