Membicarakan soal jodoh, begitu banyak perspektif yang timbul. Wajarkah kita mengharap mendapatkan pasangan yang soleh/solehah sedangkan kita tidak berusaha untuk menjadi soleh/solehah terlebih dahulu? Adakah kita perlu mencari yang soleh/solehah itu dengan harapan dia mampu membimbing kita berubah menjadi lebih baik? Jika bagi wanita mungkin itulah yang sebaiknya tetapi bagaimana pula jika lelaki? Fitrah lelaki adalah sebagai pemimpin kepada wanita, maka sewajarnya lelaki melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama dan rumah tangga agar dapat membentuk keluarga yang diredhai Allah. Dan insyaAllah kekal harmoni dunia hingga akhirat. Tambahan pula, lelaki biasanya ego untuk menerima arahan, teguran atau bimbingan daripada wanita. Sukar pula untuk seorang wanita menegur suaminya kerana mungkin saja disalah anggap sebagai mencabar atau terlebih pandai. Atau mungkin menjadikan suami hilang kuasa dan haknya sebagai ketua keluarga.
Kerapkali soal cinta menjadi hujah utama dalam soal pemilihan jodoh dewasa ini. Sebelum berkahwin, mungkin itu adalah sebab paling munasabah bagi seseorang untuk memilih pasangan hidupnya. Tetapi setelah berkahwin, hidup sebumbung dan berkongsi segalanya...apakah soal cinta itu masih di tangga teratas dalam mengekalkan bahtera rumahtangga yang sering diacah badai? Sebenarnya bukanlah soal cinta sangat, tapi lebih pada tanggungjawab. Kebanyakan pasangan yang bercerai memberi alasan sudah tiada cinta, persefahaman atau keserasian lagi. Jadi apalah guna dipertahankan rumah yang hampir roboh...Ada juga yang beralasan merasa tertipu, tidak bahagia dan sebagainya. Melainkan perceraian itu adalah satu-satunya jalan yang tinggal dan terbaik, selebihnya cuma alasan bagi orang yang berfikiran pendek.
Bukanlah bercakap ikut sedap mulut tetapi itulah realitinya. Kenapa kalau sebelum kahwin itu, masing-masing berusaha mencari keserasian, persefahaman sehingga menambahkan cinta namun selepas berkahwin mengapa tidak terus cuba mencari keserasian? Sebaliknya sengaja mencari kebencian atau keburukan pasangan. Segala yang dahulunya indah di mata menjadi buruk, yang dahulunya diterima kini dipertikai. Kadangkala hanya ternampak kekurangan pada pasangan walhal diri sendiri juga memiliki kekurangan.
Dalam Islam, panduan dan syariat yang digariskan sudah cukup indah dan mudah. Hanya tinggal kita hayati dan amalkan. Bermula dengan pemilihan calon suami/isteri, hal2 berkaitan pernikahan, tanggungjawab suami terhadap isteri dan sebaliknya, tanggungjawab terhadap anak2 sehinggalah berkaitan hak2 selepas perceraian lengkap dibahaskan. Bagaimana bentuk keluarga kita pada masa akan datang ditentukan sejak dari awal pemilihan jodoh. Bagaimana diri kita dan pasangan itulah yang mencorakkan suasana mahligai impian yang akan terbina. Tentunya kita tidak mahu malah tidak sanggup memikirkan untuk berpisah. Sebolehnya, pasangan yang kita pilih itu adalah jodoh kita sampai ke syurga InsyaAllah.
Rasanya ciri penting yang perlu diutamakan dalam memilih calon suami ialah dengan menilai pada agama dan akhlaknya. Selebihnya akan terbentuk dengan baik jika memiliki keduanya. Pemilihan calon isteri juga begitu tetapi ada banyak faktor lain lagi yang boleh dipertimbangkan sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah S.A.W.
Rasa cinta penting untuk mengekalkan kebahagiaan kerana ia sememangnya fitrah semula jadi manusia yang ingin dikasihi dan disayangi. Namun cinta fitrah ini harus didasarkan oleh cinta kepada Allah. Cinta boleh berkembang mekar, pudar dan hilang maka sebab itulah perlu berlandaskan syariat. Cinta itu penting tapi jangan terlalu dipentingkan. Perjalanan selepas berkahwin menuntut tanggungjawab melebihi rasa cinta dalam hati. Kerana di saat cinta memudar, pastinya sukar untuk mempertahankan ikatan jika perkahwinan dibina semata-mata atas dasar cinta. Pada saat itulah tanggungjawab mengawal keadaan. Fikirkan bagaimana untuk menyuburkan kembali rasa cinta di samping menunaikan tanggungjawab yang tergalas di bahu, bukan makin menghakis rasa cinta dengan mengungkit rasa yang mendingin.
"Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti."-Pahrol Mohamad Juoi.
Dikuasakan oleh Blogger.
0 ulasan:
Catat Ulasan