Memaafkan semua orang akan membersihkan hati dan jiwa akan menjadi tenang...
Dulu, ketika diri masih tak dapat mengawal kemarahan, aku merasakan sangat sukar saat berdepan atau terpaksa menghadapi punca marah itu. Senang cakap, orang yang mencetuskan kemarahanku. Aku tak mampu menahan marah, tapi untuk menghambur kemarahan juga tak termampu. Maknanya, jiwaku terseksa menahan kata-kata dan pada masa yang sama hatiku sakit kerana rasa marah menguasai diri. Akhirnya, aku menjadi tak tenang dan seolah berdendam. Dan setiap kali punca kemarahan itu melakukan hal yang sama atau sekadar menampakkan diri di hadapanku, hatiku kembali sakit kerana mengenang pengalaman lalu. Meski aku sedaya upaya cuba menghilangkan ingatan lalu namun ia seolah menghantui, mengejarku di mana-mana...
Mujurlah aku masih waras. Ilmu agama yang masih tersemat di dada memagari tingkahku. Ku cuba memujuk hati dan memadamkan bara di dalamnya. Kadangkala aku hairan, aku jadi pelik dengan sikap manusia yang pelbagai. Tapi itulah kenyataan yang perlu ku hadapi. Sejak itu aku menjadi insan yang penuh misteri, yang aku sendiri tak mengenali dengan mendalam.
Itu dulu...
Tapi kini, aku lebih tenang. Kerana aku telah sedar kenapa kita perlu memaafkan semua orang. Sebenarnya ungkapan ini sudah banyak kali kedengaran, diucapkan oleh ahli agama, pakar psikologi atau pakar motivasi. Hairan ya, aku dah lama tahu dan aku juga memaafkan tapi masih tak bahagia pada saat tertentu. Saat aku sekali lagi berjumpa dengan manusia yang tak mengerti perasaan orang lain, saat aku diperlakukan seperti kanak-kanak nakal dan saat aku sering berduka dengan ujian Allah.
Aku sering menasihati hal yang sama bila orang meminta pandanganku. Aku tahu senang untuk bercakap tapi sukar untuk dilaksanakan, bagi yang tidak dapat mengikhlaskan hati. Rupanya aku juga sekadar memaafkan di mulut, sedangkan hatiku tidak melakukannya. Sebab itu aku juga tak terlepas dari rasa serabut yang menyesakkan hati.
Sesungguhnya, kata-kata yang terluah perlu diakui dengan hati yang ikhlas. Jika mulut memaafkan, seharusnya hati juga memaafkan dengan ikhlas. Ikhlas kerana mengharapkan Allah juga mengampuni kita, ikhlas kerana Allah. Kita cuma tak suka pada perbuatan bukan pada orang yang melakukan kesalahan itu. Jika benar dia bersalah, kita berdoa mudah-mudahan Allah membuka pintu hati dan memberi petunjuk kepadanya. Moga Allah mengampuni dia atas kesalahannya. Itulah namanya ikhlas kerana Allah. Dan selanjutnya, jangan lagi menyimpan apa-apa di dalam hati dan belajarlah melupakan. Jika sesekali terkenang, anggaplah itu sebagai iktibar dan cepat-cepat padamkan. Kita kata sudah memaafkan jadi apa perlunya lagi mengingat-ingat.
Cubalah praktikkan perlahan-lahan. Usah memaksa diri memaafkan secara terpaksa tapi didiklah hati memaafkan dengan tenang tanpa dipengaruhi perasaan-perasaan yang bukan-bukan. Wahai saudaraku, aku juga tahu bagaimana susah untuk benar-benar melaksanakan tapi aku juga tahu bagaimana rasanya setelah diri benar-benar dapat memaafkan. Kau kata inginkan hati yang tenang, ingin Allah mempermudahkan bagimu dalam setiap urusan. Jadi apa yang kau risaukan lagi, mulakanlah langkah pertama. InsyaAllah moga diberi Allah kekuatan untuk melaksanakan. Aku yakin kita semua boleh melakukannya, dengan penuh ikhlas. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci dan diisi dengan hal-hal yang menyedihkan. Pilihlah hati yang tenang dah hidup yang dipenuhi bahagia untuk sepanjang usia yang masih ada. Kita hanya singgah di dunia sementara untuk menyediakan hidup bahagia di akhirat yang kekal abadi... Senyumlah...kerana berjaya melawan nafsu marah dari terus bersarang di hatimu=)
Dikuasakan oleh Blogger.
0 ulasan:
Catat Ulasan