Advertise Here

Pena Mawar Hijau

- Another Blogger Blog's

“Apabila Allah telah menentukan bagi hamba-Nya suatu kedudukan yang tinggi, yang tidak mungkin tercapai sebab kurangnya amalan hamba itu, maka Allah akan memberi ujian pada jasadnya atau pada anaknya atau pada hartanya, dan Allah telah memberikan ketabahan, sehingga dengan ketabahan itu, ia dapat mencapai kedudukan yang tinggi yang telah ditentukan ke atas dirinya”. (Hadis riwayat Anas bin Malik)

Ya Allah Ya tuhanku, kini aku benar-benar mengerti mengapa setiap ujian itu diturunkan kepada manusia, lebih tepat lagi kepada aku...
Tiada kata yang dapat menjelaskan apa yang dirasa hati tatkala diuduga ujian-Mu Ya Allah. Sungguh benar kita takkan benar-benar memahami perasaan orang yang mengalami sesuatu musibah sehinggalah kita sendiri mengalaminya. Kalaupun penyebab dan kejadiannya sama, tapi tetap berbeza kesannya kerana setiap orang melaluinya dengan tahap penerimaan dan cara penyelesaian yang berbeza juga. Cuma ketika kita diminta memberi nasihat atau bantuan, lancar lidah menyampaikan, bijak tindakan yang diterjemahkan. Tapi kenapa saat kita mengalami hal itu sendiri, nasihat dan penyelesaian yang telah kita sampaikan, yang kita sememangnya tahu isinya, seakan tidak berguna untuk kita? Dan masalah itu tak dapat diselesaikan atas nasihat yang sama? Ya, jawapannya kerana tahap penerimaan kita sebenarnya berbeza. Adakah kita menjangka kita lebih tabah dari orang yang menghadapi sesuatu musibah? Sebab itu kita bercakap dengan mudah kerana menyangka kita lebih tahu, lebih merasa sengsaranya. Tapi cuba kita sendiri dalam situasi itu, baru kita tahu tinggi rendah langit yang memayungi.
Kerana itu, jangan ambil mudah setiap kali ada rakan atau sahabat kita mengadu tentang masalahnya. Tapi berbicaralah dengan kerendahan hati, cuba fahami dan dengar dengan sabar. Saat-saat seperti itu memerlukan kebijaksanaan buah fikiran dan tindakan yang berhikmah. Jika tidak mampu, cukuplah engkau setia menadah telinga, menyerap semua luahan hatinya. Dan pada akhirnya, peganglah bahunya, katakan dengan lembut yang engkau yakin dia mampu hadapi semua dengan baik dan engkau sentiasa ada untuk memberi kekuatan kepadanya. Kadangkala mereka bukan inginkan penyelesaian sangat, tapi kesediaan dan keprihatinan kita untuk mendengar itu sudah memadai. Luahan hati ibarat terapi yang menenangkan jiwa. Ada yang mudah meluahkan isi hati dengan air mata atau kata-kata, ada juga menggambarkan dalam bentuk lukisan, lakaran, nyanyian, ada yang memilih puisi untuk mengungkapkan perasaan dan ada yang menyibukkan diri untuk meluputkan ketegangan. Walau apa cara sekalipun, yang pasti meluahkan adalah cara terbaik menghindarkan tekanan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Subhanallah.
Terima kasih atas pencerahannya.
Salam ukhuwah.

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.