Mendung kelabu datang lagi
Jika dulu hadirnya disambut syukur
Namun kini membawa duka
Hadirnya hanya menambah derita
Hati yang pedih kian terseksa
Petaka apakah ini
Sekelip mata musnah segalanya
Tempat kediaman hancur lebur
Bedilan bom terhempas di sana sini
Putus tangan, tubuh robek
Kesan luka kelihatan melata
Tangisan ketakutan juga jeritan sengsara
Tidak lagi memancing simpati
Jiwa mati meski jasad masih bernyawa
Apalah daya si kecil ini
Terlalu mentah untuk mengerti
Siang malam diburu butiran peluru durjana
Yang tidak peduli siapa mangsanya
Betapa saban waktu dirundung kengerian
Masa depannya gelap gelita
Tiadakah walau secebis kemanusiaan
Bertamu di hati pejuang hipokrit
Konon mahu dibebaskan rakyat jujur itu
Dari belenggu keganasan
Tapi apa yang mereka dapat
Ibarat mati semula tanpa sempat hidup
Inikah yang mereka mahukan
Hitunglah esak tangis dan rintihan mereka
Apakah ini yang ingin kita saksikan
Atau inikah yang ingin kita dengar
Bukan ini kesudahannya
Di mana kita tatkala bumi itu digegar senjata ganas
Meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa
Sedang riangkah menatap kaca tv
Atau sedang rakus menjamah hidangan
Terfikirkah kita betapa dahsyat perjuangan mereka
Yang mungkin ketika itu sedang bermati-matian
Mempertahankan diri dan kaum keluarga
Biarpun nyawa jadi taruhan
Namun menyerah bukan penoktah kekejaman itu
Walau api kemarahan marak membara
Tapi tiada maknanya jika berdiam diri
Penyeksaan itu memerlukan perhatian
Bersatunya negara islam pejuang kemanusiaan
Menentang keangkuhan kuasa penjajah
Penyelesaian yang hakikatnya mudah
Menjadi realiti yang merumitkan
Mengapa harus tunduk pada kuasa besar
Yang semakin gila dan rancak menghambur kebencian
Mencipta penyeksaan dan penderaan yang menjijikkan
Perlukah ditanya apa yang harus dilakukan
Jangan sampai kita membunuh saudara sendiri
Di luar kesedaran dan kedangkalan akal
Bukalah seluas-luasnya mata pembelaanmu wahai dunia
Menjadikan mangsa sebagai penyebab
Ataukah kaku di bawah telunjuk kekejaman
Yang tiada penghujungnya?
Betulkanlah kesilapan itu
Sebelum sesaat pun tidak lagi bererti
Dikuasakan oleh Blogger.
0 ulasan:
Catat Ulasan